oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Shahidah Abu Hassan

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) mengagihkan RM469,400 kepada 100 pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 pusat pengajian tersebut.

        Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, peruntukan merupakan sebahagian sumbangan zakat korporat yang telah disumbangkan kepada UPSI.

UPSI terbina dari sumbangan wakaf Raja-raja Melayu yang prihatin 100 tahun lalu – Md Amin

        “UPSI terbina seratus tahun yang lampau melalui rasa cinta dan prihatin Raja-raja Melayu iaitu Sultan negeri Perak, Sultan Selangor, Sultan Pahang dan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan  yang menginfakkan harta kepada perjuangan bangsa Melayu telah dijajah lebih 500 tahun lamanya oleh kuasa asing,

        “Menerusi rasa cinta itu, hari ini dizahirkan pula oleh syarikat-syarikat korporat yang menyumbang ratusan ribu ringgit kepada anak-anak bangsa Malaysia zakat yang telah disumbangkan kepada UPSI,” jelasnya ketika ucapan perasmian Pelancaran 100 Dermasiswa WEZAS Sempena 100 Tahun UPSI di Kolej Za’aba, Kampus Sultan Azlan Shah, malam tadi.

        Menurut Md Amin lagi, menerusi peruntukan tersebut terdapat tiga pecahan kategori pelajar bakal menerima manfaat iaitu kategori pertama sebanyak RM3,500 elaun sara hidup, elaun buku dan yuran pengajian setiap semester.

        “Kategori seterusnya para pelajar akan menerima kira-kira sejumlah RM1,500  hingga RM2,100 merangkumi elaun sara hidup dan yuran pengajian setiap semester manakala kelompok terakhir akan menerima RM600 untuk elaun sara hidup setiap semester,” jelasnya.

Md Amin (tengah) dan Mohd Abdul Nasir (empat dari kiri) bersama wakil-wakil daripada syarikat korporat semasa  Pelancaran Dermasiswa kepada 100 pelajar golongan asnaf, B40 di Kolej Za’aba, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim semalam.

Md Amin turut menerima serahan sumbangan korporat sebanyak lebih daripada wakil-wakil lima buah syarikat korporat bernilai kira-kira RM 1.04 juta daripada Lembaga Tabung Haji, Etiqa General Takaful Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Radicare Sdn Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Turut hadir, Pengarah WEZAS UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif dalam ucapan aluan turut merakamkan penghargaan kepada badan-badan korporat yang sentiasa prihatin menghulurkan dana sumbangan untuk dimanfaatkan kepada para mahasiswa sebagai gagasan merealisasikan impian pendidikan kepada semua.

Manfaatkan elaun, tampung perbelanjaan harian

Pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Nazhiatun Akhma Bolhassan, 21, menzahirkan rasa syukur menjadi salah seorang penerima dermasiswa elaun sarahidup sebanyak RM600 setiap semester selepas menghantar permohonan tidak lama dahulu.

        “Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur apabila menerima tajaan elaun sara hidup, sedikit sebanyak dapat membantu belanja pengajian saya di sini,” jelas pelajar yang berasal daripada Kuching, Sarawak.

Penerima Dermasiswa, Nazhiatun Akhma Bolhassan panjat rasa syukur, bantu ringan beban belanja di kampus.

        Menurut anak  bongsu daripada tiga orang adik beradik ini telah dididik untuk berusaha mencari duit poket sendiri sejak dari bangku sekolah untuk perbelanjaan harian sementelah kedua ibubapanya telahpun berpisah.

        “Sejak berumur sembilan tahun lagi saya sudah belajar berdikari berjaja di pasar di pekan, malah sehinggalah bila sudah melanjutkan pengajian di universiti, jika ada kelapangan cuti semester saya akan manfaatkan masa bekerja sambilan,” jelasnya lagi.

        Pelajar cemerlang Fakulti Sains Kemanusiaan itu pada awalnya bercita-cita mahu menjadi Pegawai Syariah bagaimanapun mendapat saranan meneruskan legasi bapanya yang merupakan seorang guru untuk menjadi pendidik dalam bidang agama Islam.

Turut diterbitkan di: Kosmo!

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)