oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong (RESQ Team UPSI)
Batang Kali, 16 Disember: Prihatin dengan pasukan Search and Resque (SAR) tragedi tanah runtuh yang berlaku di Father’s Organic Farm, turut mengundang komitmen pasukan penyelamat ResQ dari Universiti pendidikan Sultan Idris (UPSI) turun padang menghulurkan bantuan kecemasan dengan menyumbang snek dan minuman tenaga kepada para petugas.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Universiti Komuniti (UPSI) Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong yang juga mengepalai misi ResQ Team berkata, pada awalnya kehadiran pasukan sukarelawan tersebut di tempat kejadian pada malam 16 Disember untuk mengenalpasti keperluan bantuan sokongan menyelamat daripada pihak berkuasa.
“Pada hari kejadian, pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telahpun berada di tempat kejadian dan sedang melakukan tugas-tugas menyelamat dengan membawa keluar kira-kira 16 mayat pada hari tersebut,
“Berdasarkan saranan yang diterima oleh pihak berkuasa juga, tidak digalakkan untuk mengganggu kawasan zon merah semasa usaha menyelamat serta akur dengan arahan semasa, pihak ResQ Team cakna keperluan sokongan dengan menyediakan snek dan minuman tenaga kepada para petugas penyelamat,” jelasnya dalam suatu kenyataan.
Seramai empat sukarelawan RESQ UPSI yang terlibat dalam misi bantuan itu iaitu Felo EduForest UCTC, Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Pemandu, Mohamad Hairi Abu Hasan, Pelajar Pelatih Industri UCTC, Mohamad Amin Idros, serta Adham Mustaqim Ahmadi, (Skim Pelajar UCTC).
Menurut Muhammad Aqil Aryan lagi, sebanyak 600 unit botol minuman tenaga UPSIDE (keluaran produk UPSI) dan 900 unit snek tenaga diserahkan kepada urusetia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk diagihkan kepada para petugas SAR serta pengamal media yang bergilir-gilir melakukan tugasan di zon merah tersebut.
“Keperluan makanan dan minuman tenaga ini difikirkan mudah dibawa dan disimpan para petugas semasa menyelamat di lapangan berjam-jam lamanya,” jelasnya lagi.
ResQ Team UPSI yang dilancarkan sejak era tahun 2000 telah menjadi pasukan sukarelawan penyelamat dari kalangan warga universiti tersebut melibatkan bencana alam seperti banjir dan lebih 60 misi menyelamat dilaksanakan sehingga hari ini.
Terkini pasukan RESQ Team UPSI berada di negeri-negeri kawasan pantai timur untuk menyelamat mangsa banjir di kawasan terjejas. – ePena