Oleh : Ali Zainal Abidin Lokman (Pegawai U-Media Pusat Kokurikulum) dan Noraini Aminuddin

18 Mac 2023

Tanjong Malim – Aktiviti pendakian bukit ataupun gunung merupakan antara destinasi riadah yang sering dilakukan pelbagai peringkat umur dan sedikit sebanyak memberi petanda bahawa umum telah menyedari bahawa selain menghabiskan masa ditempat kerja atau duduk dirumah, aktiviti luar menyumbang kepada gaya hidup sihat yang sering menjadi faktor penting dalam penjagaan kesihatan tubuh badan seseorang.

Bagi menyahut aktiviti ini, Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil peluang menjalankan program Forestry Hiking Day yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, penganjuran UPSI Forestry Hiking Day ke Bukit Changkat Asa ini adalah bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan pada 23 Mac akan datang.

“Melalui penganjuran program ini secara tidak langsung dapat mempromosi dan memperkenalkan kepada peserta salah satu di antara beberapa kawasan dan aktiviti menarik yang terdapat di bumi Muallim”, katanya.

Seperti sedia maklum, terdapat beberapa kawasan menarik di Muallim bagi orang ramai menjalankan aktiviti pendakian seperti Gunung Liang, Lubuk kawah, Bukit Changkat Asa serta Air Terjun Strata.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim turut merasmikan program ini yang disertai lebih 80 individu melibatkan warga UPSI dan masyarakat di sekitar bumi muallim.

“Sebagai tanda sokongan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan, program ini dijalankan serentak di seluruh negara meliputi pelbagai tempat seperti puncak bukit atau gunung di dalam Hutan Simpan Kekal dan Tanah kerajaan”, ujarnya semasa perasmian tersebut.

Menurut kajian daripada Stanford University pada tahun 2014, mendaki mampu meningkatkan mood seseorang, mengurangkan kebimbangan serta meningkatkan daya ingatan.

lagi gambar: FB Aurora

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI