Oleh : Mohd Ali Abduk Malek (Pegawai U-Media Pusat Islam) dan Noraini Aminuddin
Israk bermaksud peristiwa Rasulullah SAW diperjalankan oleh Allah SWT pada malam hari dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis yang terletak di Palestin. Sementara Mikraj pula adalah peristiwa Rasulullah dinaikkan ke langit sehingga sampai suatu tempat yang dinamakan sidratul muntaha untuk bermunajat kepada Allah
Sebagai memperingati peristiwa tersebut, sambutan Israk Mikraj peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dilaksanakan pada 28 Februari yang lalu bertempat di Masjid Al-Mursyidin Kampus Sultan Azlan Shah dengan menampilkan Ustaz Syed Abdul Kadir AlJoofre sebagai penceramah jemputan dengan tajuk “Mengingati Peristiwa Pensyariatan Solat”.
Program yang diadakan ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr. Izwan Shahril yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).
Sambutan ini juga turut mendapat perhatian dari agensi luar dengan kehadiran para peserta yang terdiri daripada Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Darul Quran, Pejabat Agama Daerah Slim River dan Masjid-Masjid sekitar Muallim.
Israk Mikraj merupakan antara tanda kekuasaan Allah SWT yang diperlihatkan kepada hamba-Nya. Tanpa iman kukuh, kebenaran peristiwa itu sukar diterima seperti yang berlaku kepada penduduk Makkah pada zaman Rasulullah SAW
Peristiwa Israk Mikraj yang dianggap penting dalam sejarah perkembangan Islam dapat menanam rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Semoga ianya dapat memberi pengajaran kepada umat Islam berkaitan peristiwa pensyariatan ibadat solat yang merupakan ibadat paling utama dalam Islam.