Oleh: Muhammad Safwan Ismail (Pusat Islam) dan Noraini Aminuddin
Tanjung Malim – Pelaksanaan Program Umrah dan Ziarah telah mencapai persetujuan melalui perbincangan awal yang diadakan bersama Persatuan Kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRESTASI), Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS) dan Kesatuan Pegawai Am (KPA) pada Jun 2021 yang dilaksanakan menggunakan inisiatif skim potongan gaji kepada kakitangan yang berminat untuk menyertainya.
Bersempena pelaksanaan program ini, seramai 15 orang jemaah dikalangan warga UPSI yang diketuai dan dibimbing oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Muhammad Hamdi Azmi menunaikan umrah pada 11 Mac sehingga 22 Mac yang lalu serta turut diraikan dengan Majlis Bacaan Yasin dan tahlil bertempat di Masjid Al-Mursyidin pada 9 Mac 2023 sebelum jemaah bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) keesokan harinya.
Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman juga hadir pada sesi tersebut bagi menyantuni dan meraikan para jemaah selepas menunaikan solat asar secara berjemaah.
Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah ialah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.
Antara kelebihan menunaikan umrah adalah mendapat status ‘tetamu Allah s.w.t’, doa-doa akan dimakbulkan, dapat menghayati sirah Nabi serta hubungan sesama umat Islam akan terjalin dengan lebih erat.