oleh: Dr. Irdayanti Mat Nashir (RISE RMIC UPSI)
Pertandingan Inovasi Malaysia Technology Expo (MTE 2023) merupakan salah satu pertandingan inovasi yang bertaraf antarabangsa menjadi medium kepada para pencipta inovasi merebut peluang mengkomersialkan ciptaan baharu yang akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Acara inovasi tahunan ini menghimpunkan inovator global, usahawan, penyelidik dan saintis, serta pakar dari pelbagai bidang dan industri untuk mempamerkan inovasi terkini mereka, berkongsi idea dan bekerjasama dengan industri untuk membangunkan teknologi dan penyelesaian yang lebih baik untuk membentuk masa depan kita.
Demi menyahut semangat inovasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru baru ini telah menghantar sebanyak empat penyertaan dan menariknya keempat-empat penyertaan tersebut memperolehi kejayaan yang memberangsangkan dengan kejayaan emas iaitu Dr Muhamad Ikhwan Mt Saad dari Fakulti Sains Matematik (FSM) dan Dr Hapsah Md Yusoh dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).
Bukan sekadar membolot emas, tetapi Dr Hapsah turut cemerlang dianugerahkan Outstanding Innovation Award oleh para juri.
Selain itu, dua lagi penyertaan tidak kurang hebatnya apabila Dr. Laili Farhana Md. Ibharim dari Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (FKMT) serta Prof. ChM. Dr. Azlan Kamari (FSM) turut membawa pulang anugerah pingat perak daripada penganjur.
Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI menerusi kenyataan hari ini merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pencipta inovasi UPSI atas kecemerlangan tersebut.
Menerusi inisiatif inisiatif tersebut bukan saja mampu meningkatkan peluang pengkomersialan produk inovasi dalam bentuk sesi pemadanan perniagaan antara RMIC UPSI dengan wakil luar, sebaliknya melalui penyertaan ekspo dan pertandingan bertaraf antarabangsa ini turut menyediakan platform kerjasama di antara penyelidik dan perunding UPSI dengan pihak industri dalam bentuk pemadanan perniagaan (businessmatching) bagi tujuan mengkomersialkan produk-produk UPSI serta mempromosi UPSI kepada pemegang taruh di dalam bidang pendidikan seperti Kementerian Pendidikan dan sekolah, sekaligus membantu meningkatkan mata penarafan MyRA UPSI melalui penyertaan ke pertandingan yang diiktiraf oleh MyRA. – ePena