Oleh : Afifah Adriana Aznan (PEGAWAI UMEDIA UCTC) dan Noraini Aminuddin
14 Januari, Hulu Selangor – Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah melaksanakan Program CoMaSPro’23 pada 14 dan 18 Januari lalu di sekolah-sekolah daerah Hulu Selangor.
Program CoMaSPro’23 ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi melalui program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang menggabungkan hasil pembelajaran khusus dengan khidmat komuniti telah membuka peluang kepada mahasiswa untuk membina pengalaman dalam perkhidmatan penyelenggaraan komputer melalui pengalaman lapangan disekolah.
Menurut Pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Ts. Salman Firdaus Sidek, CoMaSPro’23 merupakan tugasan khusus dalam bentuk perkhidmatan penyelenggaraan komputer yang diberi secara percuma di sekolah-sekolah yang mempunyai makmal komputer serta kemudahan yang disediakan, khususnya yang melibatkan sekolah BITARA.
”Seramai 150 orang mahasiswa dan empat buah sekolah yang bekerjasama dalam menjayakan program ini antaranya SK Bandar Baru Batang Kali, SMK Sg. Choh, SMK Ampang Pecah dan Sekolah Agama Menengah Sg. Selisek di daerah Hulu Selangor”, jelasnya.
“Menerusi program ini, kemahiran penyelenggaraan komputer yang dipelajari akan membina pengalaman baru bagi mahasiswa agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan kelak sekaligus memberikan impak yang besar kepada mahasiswa dalam mengaplikasikan kemahiran tersebut ke persekitaran sebenar”, jelasnya lanjut.
CoMaSPro’23 memenuhi keperluan kursus Senibina dan Organisasi Komputer (MTN3013) barkaitan CLO ke-empat iaitu komponen sistem komputer, sistem operasi, input atau output.