Oleh: Hani Azzuwa Abd Moen (Unit HEPA & Penerbitan IPS)

Program Fun Learning merupakan Jalinan Pendidikan Antara UPSI dan SK Marian Convent di mana ini merupakan program di bawah pengurusan Persatuan Pascasiswazah UPSI dan Institut Pengajian Siswazah UPSI. Program ini bertujuan untuk memberikan sumbangan dari segi idea dan kepakaran mahasiswa UPSI kepada murid-murid SK Marian Convent dan memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang keseronokan belajar berasaskan permainan. Selain itu, program ini memberi pendedahan kepada murid-murid tentang kemahiran berkomunikasi di mana salah satu aspirasi murid yang bertunjangkan kemenjadian dan keberhasilan murid.

        Program ini telah dijalankan pada 7 Mac 2023 yang lalu dan disertai seramai 17 orang pelajar pascasiswazah UPSI, 2 orang kakitangan IPS dan 80 orang murid tahun 4 SK Marian Convent, Ipoh. Terdapat lima slot iaitu Slot 1 ialah Musical Wonder Box yang bertemakan Sejarah dan dikendalikan oleh Fauzi Mohamad pelajar Sarjana Sejarah daripada Fakulti Sains Kemanusiaan.

Slot 2 pula ialah Cattapult Challenge yang dikendalikan oleh Erwani Rozi iaitu pelajar PhD Pendidikan Fizik daripada Fakulti Sains dan Matematik yang bertemakan Sains. Slot 3 ialah Who is bigger? You or me? yang dikendalikan oleh Low Jie Ying iaitu pelajar PhD Pendidikan Fizik yang bertemakan pengiraan dalam Matematik daripada Fakulti Sains dan Matematik. Slot 4 ialah Tie and Dye yang dikendalikan oleh Norhazeyna Hamzah pelajar Sarjana Pendidikan Seni daripada Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif dan slot 5 ialah Story Telling yang memaparkan kemenjadian murid. Slot ini dikendalikan oleh Junainah Abdul Jalel pelajar Sarjana Instruksional Teknologi daripada Fakulti Pembangunan Manusia.

          Program ini telah diketuai oleh Junainah Abdul Jalel pelajar Sarjana Instruksional Teknologi daripada Fakulti Pembangunan Manusia telah berjalan dengan lancar mengikut perancangan. Semua peserta telah memberikan kerjasama yang baik dan sangat teruja semasa program berlangsung.

Melalui pendedahan program seperti ini, pelajar pascasiswazah dapat berkongsi pengalaman kepada peserta dan dalam masa yang sama dapat menambahkan ilmu pegetahuan dalam bidang pengajian masing-masing. Murid-murid SK Marian Convent juga dapat mengaplikasikan aspek pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis berdasarkan Fun Learning.

Selain dapat menerapkan nilai-nilai positif kepada pelajar pascasiswazah dan murid-murid sekolah, program ini membentuk jalinan ukhuwah antara UPSI dan pihak sekolah. Murid-murid juga melibatkan secara aktif dalam aktiviti yang dijalakan.

          Guru Besar SK Marian Convent iaitu Puan Hindun Wahid telah merasmikan majlis penutup program ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan Program Fun Learning ini. Beliau juga turut merakamkan ucapan tahniah kerana program ini dapat reaksi yang positif daripada murid-murid. – ePena.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)