Oleh: Afifah Adriana Aznan
15 Mac, Tanjung Malim – Dalam mempelajari kepelbagaian biologi, mahasiswa kursus Essential Skills in Life Sciences (SBL1043), Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah melaksanakan Program Living Lab of Essential Skills in Life Sciences pada 15 dan 16 Mac yang lalu di Edu-Forest UPSI, Sg. Dara, Behrang.
Program yang melibatkan seramai 22 orang mahasiswa di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik ini adalah sebahagian inisiatif membolehkan pelajar melakukan eksperimen biologi di Living Lab dalam mencapai Course Learning Outcomes (CLOs) kursus ini.
“Pelajar perlu mengumpul sampel, melakukan eksperimen, menganalisis data serta melakukan rakaman video pendek sebagai salah satu aktiviti bagi memenuhi skop kajian lapangan,”
Menurut Muhammad Aqil Aryan Wong, Edu-Forest merupakan sebuah ‘Makmal Hidup’ yang strategik bagi mahasiswa melakukan teknik persampelan spesimen biologi yang sebenar di lapangan serta menjadi daya tarikan baharu Tanjung Malim dan Daerah Muallim sebagai lokasi menarik melakukan aktiviti pendidikan, kajian dan rekreasi berasaskan biodiversiti alam semula jadi.
“Selain menjalankan eksperimen, mahasiswa juga dapat membina daya kepimpinan serta ketahanan fizikal dan mental dalam kalangan pelajar melalui konsep perkhemahan yang diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti river crossing, jungle trekking, water confident dan water rescue.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata ‘Makmal Hidup’ ini mempunyai kekayaan sumber pelbagai bio yang berperanan penting dalam memberi nilai tambah kepada mahasiswa dan perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Kami mengalu-alukan kehadiran mahasiswa dan mempelajari kepelbagaian biologi di sini di samping merasai sendiri pengalaman tinggal di Edu-Forest ini,” ujarnya lagi. – ePena.