oleh: Noraini Aminuddin
Tanjong Malim – Unit Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan ceramah agama sempena pengisian program Rabu untuk Qalbu di bawah portfolio canseleri universiti tersebut.
Ceramah agama yang berjudul ‘Hati Terpenting Saat Ramadan’ disampaikan oleh Pakar Bimbingan dan Kaunseling, Profesor Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip disertai lebih 50 kakitangan portfolio Canseleri daripada pelbagai jabatan Jabatan Strategik, Bahagian Komunikasi Korporat, Pusat Teknologi Maklumat, Bahagian Pengurusan Risiko dan Kesihatan dan Kesihatan Pekerjaan UPSI (ROSH), Bahagian Pengurusan Kualiti, Bahagian Audit Dalaman, Bahagian Perubahan, Institut Peradaban Melayu dan banyak lagi.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, program ceramah merupakan salah itu aktiviti dilaksanakan melibatkan penyertaan kakitangan dan mahasiswa.
“UPSI sentiasa memastikan kebajikan buat warganya terjaga, menggalakkan kecemerlangan dan memperkukuhkan ukhwah antara satu sama lain.
“Program Rabu untuk Qalbu misalnya setiap jabatan perlu mengisi program kerohanian pada setiap hari Rabu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengahari dan dikecualikan daripada kuliah pada setiap minggu,” jelasnya dalam suatu kenyataan.
Menurut Md Amin lagi pelbagai aktiviti telah direncanakan selain bacaan Al-Quran, agihan bubur lambuk, infak anak yatim dan pelajar B40, ceramah perdana dan sambutan Nuzul Al-Quran, majlis iftar dan pelbagai program di peringkat universiti, fakulti serta kolej.
Mohammad Aziz Shah dalam ceramahnya mengajak para hadirin untuk menghayati nilai Ramadan bukan sekadar berpuasa semata-mata sebaliknya sebagai latihan untuk merawat hati menghindar daripada perasaan jahat.
Menurutnya lagi, berdasarkan sains kuantum, manusia sentiasa terhubung menerusi atom, justeru dengan menjaga hubungan sesama manusia akan memberi ketenangan dalam hidup yang akan menghindar penyakit hati seperti kemurungan, keresahan dan perasaan iri hati. –ePena
Nota Pengarang: Ramadan berlari meninggalkan kita, bersediakah meratapinya?
Turut diterbitkan di: xklusif.my