Oleh: Afifah Adriana Aznan

9 April, Behrang – Bersempena kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini, Persatuan Rakan UCTC di bawah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil pendekatan melaksanakan aktiviti gotong-royong bersama komuniti di Kampung Sungai Dara, Behrang.

Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah (dua dari kanan) dalam sesi penyerahan bubur lambuk kepada wakil penduduk Kg. Sg. Dara Pn. Zamiah Mohd Zin.

Melalui program ini, persatuan Rakan UCTC dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) bergotong-royong memasak bubur lambuk dan bubur asyura bersama komuniti setempat di samping mengekalkan tradisi menyediakan menu sinonim sepanjang bulan Ramadan.

Rakan UCTC, Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) bersama komuniti Kg. Sg. Dara bergotong-royong memasak bubur lambuk dan bubur asyura di
Dewan Orang Ramai, Kg. Sungai Dara.

Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komunti Universiti, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kasih Ramadhan Rezeki Dikongsi ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat sambil berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

”Sebanyak 200 bekas bubur lambuk dan bubur asyura diagihkan kepada komuniti di perkampungan ini dan Rumah Anak Yatim Baitul Mahabbah, Slim River sebagai juadah berbuka puasa.”

Rakan UCTC, Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) bersama komuniti membersihkan masjid Masjid Jamek Kg. Sungai Dara.

”Selain memasak bubur lambuk dan bubur asyura, mahasiswa UPSI ini juga turut membantu menghulurkan tenaga bergotong-royong membersihkan Masjid Jamek Kg. Sungai Dara yang terjejas akibat bencana banjir tempoh hari.”

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata program ini bukan sahaja dapat merapatkan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan warga UPSI dan komuniti, malah ia memberi peluang menambah amalan pahala sempena Ramadan dan memupuk sifat bersedekah.

“Sesungguhnya memberi makan orang yang berbuka besar ganjarannya seperti hadis Rasulullah SAW,” ujarnya lagi. – ePena.

Turut disairkan di: xklusif.my

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)