Oleh: Maziah Zee Abdullah (Pegawai U-Media IPM)
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) yang terletak di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan menyimpan khazanah sejarah pendidikan negara sejak 100 tahun lalu.
Umum tidak menyedari dalam Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) terdapat tiga tapak warisan pendidikan negara yang masih kekal sehingga kini.
Kampus berkeluasan 64 hektar menempatkan, tapak asal Sultan Idris Training College, Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim dan Kompleks Sekolah Dato’ Abdul Razak.
Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim yang sebelumnya dikenali sebagai Sekolah Latihan SITC berpindah
ke bangunan baharu di Jalan Ketoyong Tanjung Malim pada tahun 1989.
Bangunan kayu dua tingkat bercirikan reka bentuk sekolah zaman British yang siap dibina pada tahun
1930 sehingga kini masih dipulihara dan dinaik taraf sebagai Pejabat Institut Peradaban Melayu.
Sekolah Dato’ Abdul Razak pada awalnya dikenali sebagai Sekolah Menengah Melayu yang ditubuhkan
pada tahun 1956 di Johor Baharu memulakan operasi pada tahun 1957 di tapak SITC.
Peningkatan pelajar saban tahun menyebabkan bangunan sedia ada tidak lagi dapat menampung.
Kerajaan Negeri Sembilan pada ketika itu menganugerahkan tanah di Jalan Sikamat Seremban dan SDAR
mula berpindah ke Seremban pada Januari 1972.
Kompleks SDAR sehingga kini masih dapat dilihat dengan struktur asal tetapi dengan fungsi yang
berbeza pada masa kini.
Kedudukan SITC di tengah-tengah antara SKTM sebelah kanan dan SDAR sebelah kiri mengambarkan
dengan jelas peringkat pendidikan negara dari peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.
Bangunan Suluh Budiman yang kini dijadikan Muzium Pendidikan Nasional menjadi pelengkap kepada
tapak warisan sejarah pendidikan negara.
Tiga tapak warisan sejarah pendidikan negara ini harus dipulihara oleh kerajaan agar generasi akan datang dapat belajar dan melihat sendiri tentang sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia.
Sebagai universiti pendidikan terulung tanahair, UPSI akan terus memulihara tapak warisan sejarah pendidikan negara agar generasi akan datang dapat melihat bangunan sekolah lama dan merasa sendiri suasana dalam kampus warisan ini. – ePena