oleh: Zulkapli Mohd Junid (Pegawai U-Media FSSK)
Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) telah menerima kunjungan hormat daripada Cawangan Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan.
Menurut delegasi diketuai Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Noor Azleen Yusop berkata, kunjungan hormat delegasi adalah ingin mengadakan kerjasama dengan pihak fakulti terutama penyelidikan dan pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU), pembangunan akademik dan kerjaya merancang pelaksanaan pencarian bakat-bakat baru selain mencari ruang untuk menghasilkan modul pengajaran, pembelajaran serta menganjurkan pelbagai jenis seminar mahupun persidangan berkaitan.
“Kementerian turut berhasrat untuk membantu dan menyokong golongan OKU dalam pembangunan sukan termasuk dari segi fasiliti tersedia di UPSI serta sokongan padu daripada komuniti setempat,” jelasnya semasa pertemuan bersama wakil FSSK.
Turut hadir Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Dr. Rozaireen Muszali, mengalu-alukan kehadiran delegasi selain mencari ruang potensi kerjasama dua hala antara FSSK dan Jabatan Belia dan Sukan Negara terutama kemajuan pembangunan sukan dikalangan atlet-atlet OKU serta kecemerlangan kerjaya atlet sendiri termasuk kemudahan yang disediakan oleh pihak fakulti demi membantu kejayaan sukan untuk atlet OKU tanahair.
Pertemuan yang berlangsung selama separuh hari di Bilik Mesyuarat FSSK di Kampus Sultan Azlan Shah turut dihadiri Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), FSSK, Dr Nur Haziyanti Mohamad Khalid.