oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Shahidah Abu Hassan

Tanjong Malim – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperkukuh, menggalakkan dan membangunkan kerjasama dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak Tabika Perpaduan.

Menurut Ketua Setiausaha KPN, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, kerjasama ini bakal menyaksikan pengukuhan pendidikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) berlandaskan Rukun Negara selain pengukuhan program-program perpaduan dan nilai-nilai murni dengan sasaran lebih 37,012 orang murid di 1,781 buah Tabika Perpaduan seluruh negara.

Pendekatan Science, Technology, Relation, Engineering, Art and Mathematics (STREAM) akan turut diperkenalkan di Tabika PerpaduanNoridah

“KPN telah bekerjasama erat bersama pihak UPSI khususnya di dalam pemerkasaan dan pemantapan program-program Tabika Perpaduan menerusi penghasilan Buku Pendidikan Rukun Negara, Buku Aktiviti Murid Tabika Perpaduan, Program Senam Harmoni, Kursus Penghayatan dan Pengamalan Rukun Negara serta pembentukan modul bagi Kursus Asas Pendidikan Awal Kanak-Kanak Guru serta Penolong Guru Tabika Perpaduan,” jelasnya semasa ucapan aluan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City hari ini.

Menurut Noridah lagi, beberapa inisiatif akan dibangunkan oleh KPN bersama Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI secara bersama, antaranya pembangunan video interaktif Komunikasi Asas Pelbagai Bahasa, memantapkan kaedah PdP Tabika Perpaduan melalui kaedah pengajaran yang menarik di bawah program i-Fikir, serta mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat di dalam pembelajaran melalui program Genius ICT dan i-Pintar.

“Selain itu, modul PdP menggunakan kaedah pendekatan Science, Technology, Relation, Engineering, Art and Mathematics (STREAM) akan turut diperkenalkan di Tabika Perpaduan di mana program ini akan menggabungkan elemen keseronokan dan pembelajaran secara holistik yang merentasi semua tunjang pembelajaran kanak-kanak tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam kehidupan sesama insan,” jelasnya lanjut.

Hadir sama,  Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Marzita Puteh berkata selaras dengan universiti pendidikan terulung di rantau ini, UPSI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi reputasi dan keunggulan serta mengalu-alukan pelbagai kerjasama meningkatkan mutu pendidikan tanahair.

“Selaras dengan penetapan kelayakan akademik yang telah berkuatkuasa bermula pada tahun 2020, semua guru-guru TADIKA perlu mempunyai sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak,”

1352 orang Guru TADIKA Swasta seluruh Malaysia telah bergraduat dengan Diploma PAKK UPSI selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia di bawah Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSIMarzita

“Justeru UPSI melakukan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kolej MAHSA, telah memetrai Memorandum Perjanjian (MOA) dengan UPSI bagi Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak,” jelasnya yang turut berucap di majlis yang sama.

Menurut Marzita lagi, seramai 1352 orang Guru TADIKA Swasta seluruh Malaysia telah bergraduat dengan Diploma PAKK UPSI selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia di bawah Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI.

“FPM menerusi Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak telah  menjalinkan MoU bersama tiga agensi swasta iaitu Global Link Sdn. Bhd, Pucuk Emas Little Caliphs International Sdn. Bhd dapat membangunkan kurikulum yang mapan dan berteraskan kehendak industri demi meningkatkan kebolehpasaran graduan,”

“Kerjasama ini juga diharapkan dapat mengukuhkan kaedah pengajaran dan pembelajaran berteraskan work based learning serta membangunkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak yang berasaskan kepada penyelidikan empirikal,” jelasnya lanjut.

Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataannya berkata kerjasama strategik ini sekaligus menjadi pemangkin yang berupaya menghimpunkan ahli akademik dan ahli industri bagi memulakan projek atau kerjasama yang berbentuk domestik serta antarabangsa serta sinergi budaya kolaboratif antara IPTA dan Industri dalam menyediakan Pendidikan berasaskan bukti secara menyeluruh dan holistik.

“Kerjasama ini sekaligus memperkasakan kualiti program akademik Pendidikan Awal Kanak-kanak di UPSI sebagai hub PAKK Negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa,” jelasnya. – ePena

Turut diterbitkan di: Buletin TV3, Sinar Bestari, Kosmo! Suara Merdeka

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)