oleh: Norhusna Hairulazmi (MMK KHAR)

Program Innovation and Creativity Competition anjuran Exco Media, Publisiti dan Perhubungan Awam Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2022/2023 telah diadakan pada 21 Mei 2023 di Dewan Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program ini bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 3.00 petang.

Innovation and Creativity Competition merupakan salah satu program yang amat relevan dengan dunia masa kini di mana dunia sekarang penuh dengan pelbagai teknologi yang serba canggih dan moden.

Sehubungan itu, program ini membantu golongan mahasiswa terutama sekali bakal pendidik pada masa hadapan dalam menghasilkan produk inovasi yang kreatif dan menarik dalam pendidikan.

Program ini juga sebagai salah satu medan perkongsian dan persaingan secara sihat dalam bidang inovasi.

Pertandingan yang dianjurkan ini akan mengumpulkan mahasiswa mahasiswi atau bakal pendidik yang mempunyai idea yang inovatif dan kreatif dari setiap pelosok universiti awam dan swasta serta institut perguruan malaysia.

Tambahan pula, program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran bakal pendidik dalam menggunakan teknologi sebagai satu medium untuk mereka meginovasikan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Hal ini secara tidak langsung dapat memperkasakan pemikiran generasi muda secara inovatif dan kreatif ke arah merealisasikan Revolusi Industri 4.0.

Seramai 10 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, 20 orang pelajar Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, 4 orang pelajar Institut Perguruan Kampus Pendidikan Teknik dan 8 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia telah terlibat sebagai peserta untuk program kali ini.

Di samping itu, terdapat slot menarik sepanjang mengadakan program Innovation and Creativity Competition iaitu ‘Forum: Selangkah Ke Alam Perguruan. Bersediakah Anda?’ Panel jemputan bagi forum ini adalah Mahfuz Mahmood iaitu Penolong Setiausaha, Unit Proses Guru Sekolah Menengah, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia dan juga Farida Yusof iaitu Guru Cemerlang SMK Trolak, Sungkai, Perak.

Pelbagai intipati dan perkongsian menarik yang dapat oleh para peserta forum seperti tips dalam temuduga SPP, tips menjadi guru cemerlang dan sebagainya.

Program ini merupakan kaedah yang terbaik untuk menyuntik semangat dan inspirasi kepada mahasiswa agar mampu menghasilkan produk inovasi melalui teknologi yang sedia ada yang menarik serta kreatif dan mampu menaikkan nama Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa.

Hal ini demikian kerana peluang sebegini tidak banyak diberikan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mendapatkan pengalaman dan pengetahuan dalam pembinaan produk inovasi melalui teknologi yang canggih pada masa kini.

Pengarah program, Norhusna Hairulazmi berkata bahawa program ini berjaya mencapai objektif dan berharap agar program ini dapat diadakan pada masa akan datang supaya elemen digital teknologi dalam pendidikan dapat diterapkan sebaiknya.

Selain itu, Penasihat program Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin berkata bahawa program ini dapat memberikan pelbagai pendedahan yang meluas dan membuka mata mahasiswa mengenai pembinaan produk inovasi dalam aspek teknologi yang baik dan menarik.

Di samping itu, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Che Anuar Che Abdullah mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya memenangi pertandingan ini dan memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada peserta yang tidak berjaya agar terus kekal bersemangat untuk menjadi seorang bakal guru yang kreatif dan inovasi.

Sehubungan itu, program ini wajar untuk dijadikan sebagai program tahunan wajib dan program ini juga berjaya mendapat sambutan yang hangat dan menggalakkan daripada semua mahasiswa khususnya yang mengambil aliran pendidikan.

Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan yang boleh dapat melalui program sebegini.

Keputusan akhir bagi pemenang Innovation and Creativity Competition telah diumumkan semasa majlis penutupan program.

Tempat pertama adalah Nur Rabiatul Adawiyah Mohd Ramli dan Sandra Mae Zhen Vong Towonsing daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tempat kedua pula adalah Muhammad Izahan Jaafar dan Muhammad Nurazizi Sharuji daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tempat ketiga adalah Wan Nur Afrina Wan Idris dan Zulaikha Ahmad Kamal Azira daripada Institut Perguruan Kampus Sultan Abdul Halim. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)