Oleh : Hafiz Abd Manap (Pegawai U-Media KUO)

Tanjong Malim, 19 Mei 2023 – Bertemakan “Sedekad Merai Kegemilangan”, Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang Eka Sukma menganjurkan Karnival Interaksi Tahunan Kolej Ungku Omar (KITA KUO) 2023 pada 19 hingga 21 Mei yang lalu bertempat di Tapak Pesta Kolej-Kolej Kediaman, Kolej Aminuddin Baki (KAB), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Karnival yang dijalankan ini bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti mahasiswa dalam penganjuran program berimpak tinggi yang diharapkan mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa untuk berani mengorak langkah lebih jauh dengan penganjuran aktiviti berskala besar selain merapatkan ukhwah antara mahasiswa-mahasiswi yang telah kembali ke kampus untuk proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara bersemuka sepenuhnya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, Program ini merupakan satu cabaran yang disahut oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang Eka Sukma bagi meneruskan wadah kepimpinan cemerlang bagi menonjolkan kebolehan dalam menganjurkan sesebuah program berimpak tinggi.

“Kebolehan mahasiswa dalam melaksanakan aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek dalam sesebuah penganjuran bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, ianya memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang rapi dan perancangan gerak kerja yang bersepadu dari semua sekretariat yang mengambil bahagian”, ujarnya ketika merasmikan karnival tersebut.

“Dengan adanya program sebegini, kemahiran pengurusan, komunikasi, pemikiran kritis dan kreatif pihak penganjur serta rakan kolaborasi dapat ditingkatkan sepanjang gerak kerja penganjuran program berlangsung dan ini mampu menjadi wadah kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI untuk menimba ilmu dan bekerjasama dengan agensi luar”, jelasnya lanjut.

Menurut Pengarah Program KITA KUO yang juga Yang Di-pertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang Eka Sukma, Sharulnizam Azman, penganjuran kali ke-10 ini membawa tarikan yang tersendiri apabila  berjaya menampilkan kelainan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah dalam aspek kerohanian, kebudayaan, keusahawanan, kesukanan dan wacana intelek seperti Panorama Islam, The KUO Colour Run, Aura Suara Irama, Sukan Rakyat UPSI, KUO E-Sport Day, Latte Art Challenge, jualan 30 penggerai basah dan kering serta beberapa aktiviti sampingan yang lain.

“karnival yang dilaksanakan selama tiga hari itu merupakan antara program berskala besar yang melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Perak FM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Richiamo Cafe dan UPSI Esports serta tajaan daripada agensi luar termasuklah Khira International, Sugar Boom, MYC.my, Canon, Rival Sports, Mojuna, SV Suluh Budiman Sdn Bhd, Al-Fateh Kitchen dan beberapa jabatan dalaman UPSI seperti Pusat Islam UPSI, UPSI Holdings Sdn. Bhd dan WEZAS”, ujarnya.

Pengetua Kolej Ungku Omar, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Nazrifan pula berkata, pihak universiti serta pengurusan kolej khususnya sentiasa membantu mahasiswa yang ingin melaksanakan aktiviti sebegini dalam meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa selepas mereka bergraduat kelak.

Majlis Perasmian Karnival Interaksi Tahunan Kolej Ungku Omar itu turut dihadiri barisan pengetua kolej-kolej kediaman, pentadbiran dan felo Kolej Ungku Omar dan sumbangan 50 unit cermin mata jenis Aezlyn Optical milikan QAP D OPTIC Sdn. Bhd turut diberikan kepada pelajar UPSI.

Pengunjung yang hadir turut disajikan dengan penampilan artis jemputan Afiq Adnan dan Syahera Punawi bagi kemeriahan karnival yang berlangsung.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)