Oleh: Siti Khairanie Mohd Roslan (Pelajar Latihan Industri BKK UPSI)
Foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid
Tanjong Malim – Demi melebarkan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) hari ini memeterai perjanjian persetujuan (MoA) dengan Middle East and Arab Centre for University Services (MEAC) dalam melebar sayap UPSI di mata dunia.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, jalinan kerjasama ini dimeterai sebagai pembuka jalan meningkatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pengantarabangsaan UPSI serta mengangkat nama UPSI sebagai wakil Malaysia dengan menubuhkan Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Pelajar (SSSC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Bagi UPSI, ia merupakan satu pencapaian penting dalam membentuk masa depan universiti dan komitmen dalam mencapai aspirasi negara agar Malaysia menjadi hab pendidikan tinggi antarabangsa,”
“Melalui kolaborasi bersama di mana Pengarah Urusan MAEC, Dr. Khaled Alsaadi juga merupakan alumni UPSI meningkatkan lagi semangat dalam mempromosikan UPSI bersama. Ia merupakan satu titik perubahan yang mampu melonjakkan nilai UPSI dalam menonjolkan kepercayaan yang diberi bagi menubuhkan pusat pengajian di sana,” jelasnya semasa ucapan aluan majlis menandatangani dokumen MoA bersama wakil MAEC di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, petang tadi.
“Dengan penubuhan pusat baru ini juga sekaligus kita dapat berkongsi kepakaran tenaga kerja yang melibatkan kedua-dua buah institusi antara dua negara,” jelasnya lanjut.
Ujar Md Amin lagi, Khaleed Alsaadi yang juga graduan di UPSI dalam peringkat PhD sebelum ini turut menyatakan kebanggaan beliau sebagai produk kelahiran UPSI. Ia merupakan batu loncatan untuk memperkenal dan mempromosi UPSI di persada global serta menarik lebih ramai golongan bijak pandai antarabangsa, khususnya Timur Tengah menyambung pengajian di UPSI.
“UPSI ketika ini mempunyai seramai 1,185 pelajar antarabangsa yang aktif,”
“FPE misalnya mempunyai jumlah pelajar antarabangsa semasa tertinggi iaitu seramai 255, menjadikan kerjasama ini cukup baik untuk diteroka bersama,” jelasnya lanjut. – ePena
Turut diterbitkan di: Kosmo!, BebasNews