21 Jun 2023- Jabatan Biologi Fakulti Sains dan Matematik (FSM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program kesedaran penyakit kanser bersempena aktiviti mingguan Qalbu kakitangan dan pelajar. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser serta memberi inspirasi kepada kakitangan dan pelajar melalui perkongsian pengalaman bekas pelajar yang telah berjaya mengatasi cabaran dalam melawan penyakit kanser. Program kesedaran penyakit kanser ini telah berlangsung di kampus Sultan Azlan Shah, UPSI dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional (MAKNA). MAKNA yang merupakan organisasi yang memainkan peranan utama dalam pendidikan, penyelidikan, dan sokongan kepada pesakit kanser dan keluarga mereka.

Sesi perkongsian pengalaman bekas pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, saudari Syafirah binti Mohamad Zaher dan saudara Muhammad Nurzuqmi bin Mohd Hussin

Program ini menampilkan perkongsian pengalaman bekas pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains yang pernah menghidap penyakit kanser iaitu saudari Syafirah binti Mohamad Zaher dan saudara Muhammad Nurzuqmi bin Mohd Hussin yang kedua-duanya kini sedang bekerja sebagai guru. Pelajar-pelajar ini telah menyampaikan cerita inspirasi tentang perjalanan mereka dalam menghadapi diagnosis penyakit kanser, cabaran-cabaran utama, bagaimana mereka memperoleh sokongan dan kekuatan untuk melawan penyakit tersebut serta pengalaman mereka dalam mendapatkan  pekerjaan. Melalui perkongsian ini, para peserta telah diberikan penekanan tentang wawasan ketabahan, keberanian, dan kepentingan untuk menyokong golongan yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.

Suasana meriah sekitar program Awareness Day on Wednesday with MAKNA
Antara aktiviti yang dijalankan adalah reruai jualan barangan terpakai.

Selain sesi perkongsian, program ini juga berlangsung dengan pelbagai aktiviti seperti Cabaran Derma MiniBox MAKNA, jualan makanan dan juga barangan terpakai, busking, aktiviti permainan dengan penekanan kepentingan kesedaran awal tentang penyakit kanser dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik. Setiap aktiviti yang dijalankan menyumbang kepada pengumpulan dana yang akan disalurkan kepada MAKNA.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menyatukan komuniti FSM dalam satu platform yang berfokus pada kesihatan. Program Awareness Day on Wednesday with MAKNA ini diharap telah memberikan impak positif kepada komuniti yang hadir. Melalui mesej kesedaran tentang penyakit kanser, diharapkan komuniti yang terlibat dapat membuat membuat pertimbangan yang menyeluruh dan menitik beratkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga. Selain itu, diharapkan program ini dapat membangkitkan semangat kepedulian dalam masyarakat untuk melibatkan diri dalam usaha membantu pesakit kanser dan keluarga mereka.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)