Oleh: Sabarina Shafie, Rawdah Adawiyah Tarmizi, Mohamad Idris Saidin, Siti Nur Akmar Mohd Yazid, Anis Nazihah Mat Daud, Afiq Radzwan, Husni Ibrahim dan Nurul Bahiyah Abd Wahid
Tanjong Malim- Persatuan dan kelab pelajar di bawah Fakulti Sains dan Matematik UPSI iaitu Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), Kelab Rakan Astronomi (RASTRO) dan Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) telah menganjurkan program Karnival Sukan dan Kesihatan 2023 (KSKFSM 2023) pada 24 Mei 2023 hingga 10 Jun 2023. Seluruh aktiviti yang dilaksanakan berteras kepada matlamat bagi melahirkan mahasiswa mahasiswi yang mengamalkan gaya hidup sihat serta prihatin dan peka terhadap kesihatan diri dan sekeliling.
Jawatankuasa pelajar diketuai oleh Saudari Nurul Qamarina Nadhirah binti Nordin selaku Pengarah Program KSKFSM 2023. Terdapat beberapa sub program telah dijalankan dengan jayanya sepanjang karnival ini berlangsung iaitu Chit Chat Kesihatan Mental: Mental Illness is Not a Joke, Ekspo KSKFSM, Blood Donation @ FSM, Sports Day FSM dan Fun Run FSM.
Penganjuran karnival ini telah menerima seramai 300 penyertaan yang terbuka kepada warga Muallim dan warga UPSI. KSKFSM 2023 bermula dengan Program Chit Chat Kesihatan Mental: Mental Illness is Not a Joke dan Ekspo KSKFSM yang telah berjaya mendapat penyertaan sehingga 200 peserta bagi sesi perkongsian dan pameran tersebut. Bagi program Blood Donation @ FSM, sebanyak 64 beg darah telah berjaya dikumpulkan oleh pihak penganjur bersama iaitu pihak Hospital Slim River, Perak. Para penderma terdiri daripada warga UPSI dan program ini berlangsung selama 4 jam di Fakulti Sains dan Matematik.
Selain itu, program Sports Day FSM menerima sebanyak 19 pasukan bagi sukan bola jaring dan sukan futsal yang bertanding bagi merebut gelaran juara. Seterusnya, KSKFSM 2023 diakhiri dengan program Fun Run FSM yang telah menerima penyertaan seramai 181 peserta merangkumi warga UPSI dan warga Muallim. Larian sejauh 5 kilometer mengelilingi Kampus Sultan Azlan Shah UPSI diadakan sejurus selepas aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh ahli jawatankuasa KSKFSM 2023.
Majlis perasmian penutupan telah dijalankan oleh Ketua Jabatan Kimia, Dr. Mohamad Syahrizal bin Ahmad. Beliau berharap agar penganjuran program seperti ini dapat diteruskan bagi melahirkan individu yang produktif dan seimbang melalui pengamalan gaya hidup sihat yang berterusan.