Oleh : Mohd Fadhli bin Rosli (Pegawai U-Media KHAR)

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dengan kerjasama Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah berjaya menganjurkan satu Seminar Usahawan: Pemangkin Ekonomi Negara (SUPERA) bertempat di Dewan Kuliah Pusat 8, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) pada 17 Jun 2023 yang lalu.

Seminar keusahawanan ini yang merupakan salah satu daripada program-program bersepadu kolej kediaman UPSI bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan berkaitan peluang perniagaan dalam bidang keusahawanan kepada para mahasiswa. Selain itu, program ini juga dapat menjadi rakan strategik perniagaan di antara mahasiswa UPSI dan peserta yang hadir bersama panel jemputan, di samping melahirkan mahasiswa yang cakna dalam merebut peluang mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Seminar Slot 1 bersama Azam Amiri (kiri), Shamir (moderator) (tengah), Dr. Sharul Effendy (kanan)

Program yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini diserikan lagi dengan kehadiran 4 orang panel jemputan terkemuka iaitu Dr. Sharul Effendy bin Janudin, Pengarah EDGE, En. Muhamad Azam Amiri bin Mohd Raffi, Pengasas Master Dealer Public Gold, Pn. Anis Sabrina binti Mohd Rashid, Pengurus Kanan COWAY Malaysia Sdn. Bhd. dan usahawan E-Book negara iaitu Mejar Hasrul Taufek bin Roslan (Master Shiro).

Program yang dihadiri oleh 170 orang mahasiswa UPSI ini telah telah memberikan peluang kepada para peserta berinteraksi secara terus dengan ahli panel dengan bertanyakan soalan atau pendapat mengenai dunia keusahawanan, di samping menjadi platform kepada ahli panel untuk mempromosikan produk mereka sepanjang program berlangsung di kawasan tapak seminar.

Profesor Madya Dr. Mohd Nizam bin Nasrifan

Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam bin Nasrifan berkata program ini dilihat mampu memberikan impak yang besar kepada mahasiswa UPSI yang ingin berkecimpung secara serius dalam dunia keusahawanan, di samping menguatkan lagi hubungan kerjasama di antara mereka dengan masyarakat tempatan, khususnya di sekitar Muallim.

“Kehidupan sebagai usahawan banyak rintangan yang terpaksa ditempuh termasuklah mengalami kerugian yang menjadi perkara biasa bagi seseorang yang masih lagi baru bertatih dalam bidang ini. Namun apa yang penting bukanlah bagaimana kita jatuh tetapi bagaimana kita bangkit daripada kejatuhan tersebut. Bukan bagaimana kita rugi, tetapi bagaimana kita menghadapi kerugian tersebut untuk mendapat keuntungan.”

“Adalah diharapkan supaya program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang demi untuk melahirkan masyarakat Madani yang berdaya saing, khususnya dalam bidang perniagaan demi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara”, katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan program itu semalam.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)