BALIK PULAU – Program Santun Ilmu Balik Pulau yang merupakan program kesukarelawan komuniti dan alam sekitar telah berlangsung pada 23 Jun hingga 25 Jun 2023 yang lalu. Program anjuran hasil kerjasama antara Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) dan Majlis Mahasiwa Kolej Kediaman UPSI (KHAR, KAB, KZ, KUO, KAHS). Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini melibatkan aktiviti perkongsian ilmu pemasaran dengan TikTok, English Explorace dan gotong-royong pembersihan di Surau Kampung Sungai Burung, Dewan Nelayan dan sekitar kawasan rekreasi Pantai Malindo. Program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi ilmu dan melaksanakan khidmat komuniti disamping meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa.
Seramai 28 orang mahasiswa dan lebih daripada 50 orang kampung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur telah terlibat sepanjang program berlangsung. Pengarah program Aqilah Hafawati berkata, Program Santun Ilmu Balik Pulau ini telah mendapat sambutan yang amat baik dan telah mencapai objektif yang dirangka dengan kedatangan kami semula ke sini amatlah dialu-alukan oleh orang kampung.
Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi Qariah Kampung Sungai Burung, Pengerusi Majlis Pengetua UPSI dan felo-felo kolej kediaman UPSI. Dalam ucapan perasmian penutup, Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob berkata, program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana ianya memanfaatkan kedua-dua pihak iaitu mahasiswa dan komuniti bertepatan dengan falsafah untuk memasyarakatkan universiti.