Oleh: Umirul Ilyamaisara Rahmat, Noorkamariah Matgul & Rasima Rasiden

UPSI bersama Penduduk Orang Asli Kampung Rensak, Kuala Woh, Tapah, Perak

Kampung Rensak, Kuala Woh, Tapah, Perak , 9 hingga 11 Jun 2023 – Anjuran kursus Pembinaan Negara dan Integrasi Nasional (HNH 3043) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Malaysia Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah melaksanakan program “Pendidikan Integrasi Nasional dalam Kalangan Komuniti Orang Asli: Kampung Orang Asli Rensak, Kuala Woh Tapah, Perak” di bawah inisiatif projek SULAM (Service Learning Malaysia). Program ini melibatkan 35 anak orang asli keluarga angkat dan 50 orang peserta mahasiswa/i AT58 Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan yang mengambil kursus major iaitu HNH3043 Pembinaan Negara dan Integrasi Nasional.

Program SULAM ini adalah suatu pendidikan berasaskan kursus atau kredit yang bersifat transformatif, dinamika dan fleksibel mengandungi pengalaman pelajar melaksanakan aktiviti perkhidmatan berstruktur dalam memenuhi dan mengenal pasti keperluan komuniti. Aktiviti perkhidmatan dan pengalaman yang dialami oleh pelajar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan ini haruslah berkaitan dengan hasil pembelajaran program yang merujuk kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan hasil pembelajaran kursus (CLO Course Learning Outcome) dengan khidmat komuniti.

Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini menerapkan pelbagai aktiviti komuniti dengan anak-anak orang asli dengan melaksanakan Integrasi Silang Budaya, Masakan Tradisi Etnik di Malaysia serta Menempuh Pelayaran Perpaduan, Pertandingan Lagu Rakyat bermula pada hari kedua program, 10 Jun 2023. “Program SULAM ini untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan masyarakat orang Asli di Kampung Rensak, Tapah, Perak”, kata Pengarah Program, Saufi Afif yang juga pelajar kursus Pembinaan Negara dan Integrasi Nasional.

Program ini bertujuan khas untuk memberikan pendidikan mengenai Integrasi Nasional dalam kalangan masyarakat Orang Asli dari aspek kebudayaan dan dasar-dasar kerajaan. Program ini turut membantu meningkatkan pengetahuan melalui pemindahan ilmu tentang kepelbagaian budaya dan mampu memupuk semangat kerjasama dalam pasukan serta mengeratkan ukhuwah silaturahim dalam kalangan peserta ketika menguruskan program”.

Mahasiswa/i UPSI bersama pensyarah kursus HNH3043 Integrasi Nasional

“Program ini ialah satu khidmat sosial yang mana mahasiswa/i boleh mendapatkan pengalaman juga meningkatkan keterlibatan mahasiswa/i dalam mewujudkan integrasi khususnya kepada masyarakat orang asli. Dalam kesempatan ini juga, saya berharap mahasiswa/i memanfaatkan ilmu yang diperolehi daripada program ini sebaik yang mungkin sama ada di dalam bidang pekerjaan ataupun di mana jua kamu berada”, kata perasmi program selaku Penyelaras Program SULAM, Dr Nurzaimah Asalal.

Program SULAM  sudah pasti memberi manfaat kepada mahasiswa/i yang terlibat dengan memberi peluang untuk mengenali adat dan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli di Kampung Rensak, Tapah, Perak. Hubungan antara mahasiswa/i dengan masyarakat Orang Asli dapat dieratkan lagi sekaligus memberikan pengalaman kepada peserta dalam permainan tradisional dan merasai pertandingan masakan tradisi yang dilaksanakan.

Pada 11 Jun 2023, program berakhir dengan majlis perasmian penutupan program SULAM yang bertujuan untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli yang terdiri dengan makanan keperluan asas yang dihadiri oleh anak-anak Orang Asli, para pensyarah, Tok Batin, Puan Misah selaku Setiausaha Kampung Orang Asli Rensak serta pelajar kursus HNH 3043 Integrasi Nasional. “Program SULAM ini seumpama satu landasan yang terbaik bagi mewujudkan silang budaya antara mahasiswa/i dengan masyarakat orang Asli“, kata Dr. Mohd Syariefudin Abdullah sebagai Pensyarah kursus Pembinaan Negara dan Integrasi Nasional.

Mahasiswi bergambar bersama anak Orang Asli Kg Rensak

Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang supaya dapat membentuk sebuah institusi sosial rentas geografi kependudukan yang lestari, bermotivasi tinggi, berkemahiran insaniah serta bijak berkomunikasi. Program SULAM turut diharapkan mampu melahirkan mahasiswa/i yang prihatin berkaitan kepentingan perpaduan dan integrasi nasional untuk membina sebuah negara yang mapan.