BATU PAHAT- Berita berkenaan pencapaian murid yang lemah dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi subjek Matematik dilihat sebagai satu cabaran baru dalam bidang pendidikan. Dikhuatiri akan wujud generasi tidak celik matematik yang menjejaskan profesion masa depan negara. Namun, cabaran ini perlu ditangani dengan baik oleh semua pihak bagi membaiki kelemahan dan menyokong perkembangan pendidikan negara.

Sesuai dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin terhadap pengurusan ledakan teknologi, inisiatif  kerjasama UPSI bersama Yayasan TM dan Creative Mind Sdn. Bhd. dalam program TM Future Skills Champion School dapat memberikan pendedahan kreatif terhadap kurikulum STEM terutama bidang Matematik yang dilihat sebagai rangkaian strategik bagi memperkasa bidang STEM bagi kerjaya masa depan.

Pertama kali berada di luar radius UPSI, Bas Pendidikan ini memulakan jelajah ke zon selatan di Sekolah Menengah Tunku Putra, Batu Pahat, Johor dengan dilengkapi alatan digital terkini sumbangan Yayasan TM dan Creative Mind Sdn. Bhd. dengan modul pengajaran yang menekankan aplikasi STEM terutama bidang Matematik bagi memperkenalkan dunia pengekodan yang sangat diperlukan kini. Majlis Perasmian TM Future Skills Champion School di SMK Tunku Putra, Batu Pahat ini dirasmikan oleh Tuan Haji Azman bin Mashuri, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan dihadiri Puan Ainol Shaharina binti Sahar, Pengarah Yayasan Telekom Malaysia, Ts. Muhammad Shafiq bin Shahrul Amar, pengasas Creative Mind Sdn. Bhd., dan penyelaras STEM Nurturing Centre (UPSI), Dr. Adibah Abu Bakar.

Pengetua SMK Tunku Putra, En. Ahmad Fadzil bin Yaani, berkata dalam ucapan aluan beliau, pengajaran secara konvensional menyebabkan murid sukar mengaplikasi bidang STEM di luar bilik darjah. Namun, pembangunan modul melibatkan pengekodan secara tidak langsung memberi latihan kepada murid cara pemikiran sistematik dengan merungkai masalah kepada langkah-langkah penyelesaian seperti mana yang dipelajari dalam subjek matematik. Apabila murid seronok mencipta permainan dan aplikasi baharu dengan mempelajari pengekodan, pembelajaran matematik akan menjadi mudah kerana timbul minat untuk mencuba. Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Suriani binti Abu Bakar memaklumkan, UPSI akan terus meningkatkan inisiatif pembangunan inovasi  pengajaran dan pembelajaran hasil kerjasama pihak institusi pendidikan, industri dan sekolah melalui penyelidikan bersama bagi membantu merealisasikan Dasar 60% Sains dan 40% Sastera (Dasar 60:40) secara progresif mulai tahun ini.  Hasil keterlibatan bersama semua pihak dapat mengurangkan ketakutan murid terhadap subjek matematik dan seterusnya meningkatkan pemilihan pelajar untuk berada dalam aliran Sains bagi tahun mendatang.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)