Muhammad Ashraaf Bin Ali
Noor Ashikin Binti Zaini
SEKOLAH KEBANGSAAN DATO’ WAN KEMARA, CHANGLUN, KEDAH, 8 Jun 2023 – Program Outreach Education 4.0 : Technovation (Budaya Ke Arah MADANI) merupakan satu program komuniti yang dilakukan untuk menaikkan lagi pengetahuan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekaligus meniti arus kemodenan yang membangun saban hari. Program ini diadakan di Universiti Malaysia Perlis dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kolaborasi bersama Majlis Penghuni Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah Universiti Malaysia Perlis. Tidak lupa juga dengan hasil kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad, Katarsis Seni, MCI Paint Malaysia dan Muallim Hortigard Nursery.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan STEM dengan aktiviti berbentuk ilmiah serta amali supaya dapat menjadikan salah satu sumber untuk penyebaran ilmu STEM kepada masyarakat. Program ini telah melibatkan seramai 45 Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada UPSI dan UniMAP serta 150 murid Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah berkonsepkan Sustainable Development Goals (SDGs). Terdapat 4 kategori SDGs yang terlibat iaitu SDGs 9 (Industry, Innovation and Infrastructure), SDGs 4 (Quality Education), SDGs 3 (Good Health and Well-Being) dan SDGs 17 (Partnership For The Goal). Keseluruhan aktiviti dilakukan sepenuhnya oleh warga sekolah dengan tunjuk ajar dan bantuan daripada kakitangan dan mahasiswa UPSI dan UniMAP. Aktiviti yang dijalankan turut meliputi konsep Corporate Social Responsibility (CSR), Transfer Knowledge Programme (TKP) serta Teknologi dan Inovasi.