SABAK BERNAM- Pemilihan kerjaya pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah penting untuk masa depan. Ramai pelajar lepasan SPM masih tercari-cari destinasi dan hala tuju kerjaya masing-masing selepas SPM. Pelbagai pilihan halatuju pendidikan yang boleh diambil kira, contohnya  pemilihan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (UA)/ IPTS, Program Matrikulasi, Pengajian Luar Negara, Politeknik, Institusi Pendidikan MARA (iPMA), Program Teknikal dan Latihan Kemahiran, dan Tingkatan 6 (Form 6) : STPM/ STAM. Namun, hala tuju pendidikan selepas SPM seharusnya masih menyemarakkan minat STEM kerana bidang ini mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan teknologi masa depan.

Semasa sesi program Pameran Kerjaya R.I.A.S.E.K-Intervensi Psikometrik IMK bertempat di Sek. Men. Keb. Seri Bedena, Sabak Bernam, Selangor, pada 22 Jun 2023, wakil STEM NURTURING CENTRE, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Adibah Abu Bakar memberi taklimat berkenaan pentingnya STEM ini dalam kerjaya masa depan pelajar selepas SPM. Turut hadir bersama, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob, yang menyampaikan sumbangan alatan STEM bagi kerjasama strategik penubuhan hub STEM sekolah bagi daerah tersebut. Selari dengan wawasan Naib Canselor universiti iaitu Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, yang mahu ahli akademia dan mahasiswa UPSI sentiasa menyumbang idea inovatif kepada masyarakat melalui pendidikan, penubuhan hub STEM bersama rakan strategik dapat mempertingkatkan minat terhadap bidang STEM terutama bantuan terhadap bahan pembelajaran amali sains mengikut kurikulum terkini. Kerjasama mahasiswa selaku STEM AMBASSADOR daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) yang diberikan latihan intstruksional pendidikan memudahcara program STEM bersama murid-murid sekolah supaya lebih seronok namun mencapai objektif pembelajaran berdasarkan kurikulum sekolah. Kelebihan ini membantu murid-murid memahami dan meneroka konsep STEM jangka panjang sambil bermain berbanding inisiatif pameran biasa yang bercirikan pemahaman jangka pendek.

Program yang dirasmikan oleh En. Mohd Azli bin Abd Latip, selaku wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Sabak Bernam ini merupakan satu inisatif jaringan kerjasama PPD Sabak Bernam, SMK Seri Bedena dan UPSI bagi meningkatkan pelajar aliran sains yang semakin sedikit. Menurut pengetua sekolah, En. Mohd Subhi bin Marsan, kerjasama ini bukan sahaja dapat membantu pihak sekolah dalam peningkatan minat dan pencapaian dalam bidang tersebut, malah komuniti juga akan mendapat manfaat terutama bagi membuka minda ibu bapa untuk lebih memberi sokongan kepada anak-anak mereka memilih aliran sains.

Kolaborasi sebegini dilihat mampu mendokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dalam bidang STEM seterusnya merealisasikan Dasar 60% Sains dan 40% Sastera (Dasar 60:40). Walaupun Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia telah dibubarkan, namun visinya masih mampu untuk disemarakkan sekiranya pelbagai pihak sentiasa menyokong dan saling bekerjasa demi pendidikan masa depan negara.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)