Oleh : Prof. Madya Dr. Arasinah binti Kamis
Majlis Penutupan Karnival Keusahawanan KPT yang diadakan di Dewan Za’ba KPT telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Bin Megat Ahmad Supian, bersama Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, YBrs. Puan Fazidah binti Mustafa; Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, YBhg. Professor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor selaku penganjur bersama; Naib-naib Canselor Universiti Awam; wakil IPT swasta; rakan kolaborasi strategik dan pegawai-pegawai kanan KPT. Majlis penutupan karnival keusahawanan pada hari ini diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden & CEO KRU Group serta selebriti dan influencer iaitu Haziq Rosebi (penyanyi lagu Lemak Manis), Hazeman Huzair (Content Creator and Trainer) dan Muhammad Faiz Safwan Abdul Rahim (Pemilik Superbike Crew). Karnival Keusahawanan telah diadakan sebelum ini di Zon Timur, Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Borneo yang telah melibatkan seramai 2,296 orang mahasiswa dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi dan sejumlah 141 orang usahawan siswa/graduan telah turut sama dalam pembentangan rancangan perniagaan (Business Pitching). Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjaya melahirkan 220,000 usahawan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara sejak dua tahun lalu bermula 2021.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, angka itu lebih tinggi direkodkan berbanding 178,105 orang ushawan pelajar pada tahun 2016 sehingga 2020. KPT sudah lama merangka agenda keusahawanan mahasiswa bermula dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020. Tempoh lima tahun telah melahirkan 30,281 graduan usahawan sekali gus telah meralisasikan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dengan purata 8,755 graduan usahawan lahir setahun dan jika trend itu kekal, jumlah keseluruhan kelompok tersebut boleh mencapai 43,775 orang pada 2025.
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah diwakili oleh pelajar dari Fakulti Teknikal dan Vokasional yang mengikuti Program Ijazah Sarjana muda Ekonomi Rumah Tangga melalui kursus Terapi Estetik (VCB3023) bersama pensyarah kursus Profesor Madya Dr Arasinah Kamis dan jurukecantikan Puan Nur Ameera Faridda Roslan. Turut hadir meraikan program adalah TNCHEPA, UPSI Prof Dr. Norkhalid Salimin, Pengarah EDGE Profesor Madya Dr Sharul Effendy Janudin dan Penyelarasn unit Keusahawanan Dr Nadratun Nafisah. Pelajar telah menyediakan perkhidmatan manicure (rawatan kuku dan tangan) kepada para pengunjung yang berminat. Program sebegini telah menjadi platform dan medan terbaik untuk mewujudkan jaringan kolaborasi antara usahawan pelajar dan agensi – agensi berkaitan dalam industri. Program sebegini juga mampu menarik minat pelajar dalam bidang keusahawanan serta mempromosikan bidang pendidikan Ekonomi Rumah Tangga kepada masyarakat dan remaja yang ingin menyambung pengajian ke menara gading. Sekali gus pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran merias dan merawat kuku yang telah dipelajari bagi menjana pendapatan dan berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan. Di samping itu, pelajar dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kuku dan tangan. Masyarakat luar juga boleh merasai rawatan yang dilakukan oleh pelajar dengan memperolehi harga yang lebih murah dari pasaran luar. Melalui Program Karnival Keusahawanan ini diharapkan agar pelajar mampu menunjukkan kemahiran dalam menguruskan perniagaan serta memberi pendedahan mengenai kefahaman pelajar dalam mengaplikasikan kemahiran yang dimiliki dengan lebih baik pada masa akan datang. Program ini juga dapat mendekatkan diri pelajar dengan dunia perniagaan dan masyarakat di luar.