Oleh: Siti Khairanie Mohd Roslan (Pelajar Latihan Industri BKK UPSI)
Tanjong Malim – Demi membudayakan akhlak berteraskan syariat Islam, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) dengan usahasama Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program ceramah ‘Iktibar Sains dalam Peristiwa Agung Qurban’, program bulanan bagi Julai bersempena perayaan Aidiladha lalu pada 5 Julai 2023.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pengkajian mendalam hal berkait rapat kehidupan, alam ciptaan Allah serta kajian ibadah yang ditetapkan dalam syariat Islam telah banyak menarik ahli Sains memeluk Islam. Ini membuktikan kesucian agama menjadi penunjuk jalan kepada umat manusia.
“Ibadah Qurban turut ditekan aspek adab sebagai panduan kehidupan. Begitu juga pelbagai inovasi dicetuskan oleh masyarakat termasuk soal memudahkan urusan penyembelihan, sama ada mengikut syarak atapun tidak. Qurban, amalan yang dituntut oleh Islam mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT,” jelasnya semasa ucapan Perhimpunan Bulanan ‘Iktibar Sains dalam Peristiwa Agung Qurban’ di sini.
“Setiap diri manusia mempunyai “Ismail” iaitu ego, bakti, harta, pangkat dan nafsu yang perlu dikorbankan. Semua itu hanya bersifat sementara.”
“Adanya program ini memberi pembelajaran dan pengajaran penambahbaikan menjadikan warga UPSI melupakan setiap perbezaan yang ada dengan bersatu demi satu matlamat iaitu kejayaan UPSI.”
Ujar Md Amin lagi, rumusan UPSI telah melakar kejayaan sepanjang Jun lepas turut diraikan di antaranya, Johan pertandingan Business Pitching: The Project Planner, National Entrepreneurship Career Festival 2023 (FPM), Johan pertandingan Inovasi Ilmu Khas Kebangsaan (FSM), dan banyak lagi. Jumlah kepadatan program akan datang juga turut dibicarakan misalnya kerjasama UPSI dengan berbagai pihak luar sebagai universiti peneraju kebitaraan pendidikan.
Program ceramah keagamaan itu mengundang penceramah jemputan, pakar dalam Falsafah dan Sejarah Sains Matematik Tamadun Islam, Falsafah Sains Islam dan Malayonesia, Dr. Mat Rofa Ismail membicarakan penghayatan ibadah Qurban dan iktibar sains sebagai tanda kesyukuran, pengorbanan serta perjuangan yang perlu diterapkan menerusi kehidupan seharian. Ibadah Qurban yang dilaksanakan dalam bulan haji iaitu bulan Zulhijjah, juga mengangkat kemuliaan ibadah ini di mana, Rasulullah SAW sendiri telah melakukan qurban sebanyak 100 ekor unta sewaktu haji wida’, 63 ekor disembelih sendiri oleh baginda, manakala selebihnya oleh Saidina Ali R.A.
Sains Qurban dalam Islam membuktikan keindahan dan kesenian dari segi adab dan etika penyembelihan sehingga kajian klinikal menunjukkan tiada bacaan kesakitan pada haiwan sembelihan yang disembelih dengan cara Islam. Begitu juga iktibar dari sunnah pensyariatan ibadah qurban itu sendiri, dalam membela kebajikan orang miskin melalui perkongsian daging-daging qurban sebagai sumber rezeki, di samping dapat memupuk perasaan kasih sayang antara sesama manusia, ulas lanjut Dr. Mat Rofa dalam ceramahnya.