Oleh: Noraini Aminuddin (FPE)
Foto: Fisol Ahmad (BKK)
Tanjong Malim – Bagi memperkukuhkan lagi kecemerlangan bidang pendidikan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2023 (SPK2023) yang disertai seramai 111 orang peserta bertemakan “Keutuhan Keinsanan Memandu Penyelidikan Berimpak Tinggi” yang diadakan di Bilik Seminar FPE Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) pada 05 Julai yang lalu dengan kerjasama Politeknik Malaysia Sultan Idris Shah dan Emerald Publishing.
SPK2023 merupakan satu platform yang sesuai kepada semua ahli akademik, penyelidik dan pengamal pendidikan untuk memperkukuhkan lagi bidang pendidikan khususnya dalam bidang pengurusan perniagaan, ekonomi, perakaunan, pengurusan pendidikan dan bidang-bidang yang lain selain memberi peluang menjalinkan hubungan antara peserta-peserta seminar ini.
Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr. Khalizul bin Khalid, dengan penganjuran seminar yang sebegini, bidang pendidikan dapat diperkembangkan lagi dengan lebih meluas bertepatan dengan tema yang ditetapkan.
“Saya berharap agar seminar ini adalah penyambung tradisi kepada universiti ini dalam usaha untuk menggalakkan kecemerlangan pendidikan dan kepada semua staf fakulti agar mengambil peluang untuk membentangkan kertas kerja dan seterusnya diterbitkan dalam jurnal dan penerbitan yang diiktiraf dan terima kasih juga kepada pembentang kertas kerja, peserta, dan semua ahli jawatankuasa SPK2023 yang telah menjayakan seminar ini dengan cemerlang”, ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi SPK2023, Dr. Ahmad Amri Zainal Adnan menjelaskan seminar ini amat bersesuaian dengan suasana dunia tanpa sempadan dan kepesatan teknologi pada hari ini, tema “Keutuhan Keinsanan Memandu Penyelidikan Berimpak Tinggi” dipilih bagi memastikan nilai-nilai keinsanan dijadikan tonggak dalam aktiviti penyelidikan.
“Manusia tidak harus hilang arah tuju, prinsip dan adab semata-mata kerana mahu mengejar kemajuan duniawi. Biar nilai yang memandu teknologi, bukan sebaliknya iaitu teknologi menentukan nilai kita”, jelasnya lanjut. Antara pengisian seminar ini adalah sesi perkongsian kepakaran dari Emerald Publishing ‘How to Publish a High-Impact Paper in the Eye of Top Reviewers’, perkongsian ilmu oleh Profesor Dr. Garry Tan Wei Han yang merupakan Brand Ambassador for Emerald East Asia dan ucaptama oleh Profesor Emeritus Dato Dr. Mohd Yusof Hj. Othman yang merupakan Profesor Emeritus (Fizik) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga merasmikan seminar tersebut.
Pada tahun ini juga SPK telah melangkah satu tapak ke hadapan dengan mengadakan pertandingan poster inovasi bagi menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan dan penerbitan serta penyertaan pelbagai pihak, khususnya Politeknik dan Kolej Komuniti.
Melalui hasil kolaborasi yang dijalankan bersama rakan strategik ini, budaya penyelidikan dan inovasi dapat dipertingkatkan lagi dikalangan masyarakat.
Jom tonton video sekitar Majlis Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2023.