TANJONG MALIM, 15 JULAI 2023 – EXCO Penerbitan, Dokumentasi dan Informasi daripada Kelab UPSI Preloved Shoppe dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA)  telah mengadakan Bengkel Fotografi yang bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kemahiran dan teknik fotografi dalam kalangan ahli sukarelawan Kelab UPSI Preloved Shoppe dan mahasiwa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Bengkel yang dijalankan di Dewan Kuliah E-Learning 3, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Seramai 45 orang peserta termasuk ahli jawatankuasa program yang turut hadir bagi menjayakan bengkel ini. Pihak penganjur telah menjemput Puan Nurul Hasniza binti Mohd Rashid, Jurufoto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI selaku panel penceramah untuk menyampaikan ilmu asas dalam bidang fotografi di samping memberikan tunjuk ajar secara praktikal yang bermanfaat kepada semua peserta.

Slot ceramah Bengkel Fotografi
Sesi praktikal fotografi menggunakan kamera DSLR

Di samping itu, semua peserta yang hadir turut diberikan peluang melakukan aktiviti secara praktikal iaitu mengaplikasikan beberapa teknik mengambil gambar seperti cara mengendalikan kamera, kedudukan yang sesuai antara jurugambar dan subjek dengan menggunakan kamera DSLR yang disediakan oleh penceramah. Bengkel Fotografi ini telah memberikan banyak impak yang positif dalam mencungkil bakat sekaligus meningkatkan kemahiran dalam bidang fotografi bagi para peserta yang hadir.