Oleh: Nur Izzatul Amirah binti Abidin dan Mohd Ali bin Abdul Malek
Tanjong Malim- Pusat Islam dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dan Kolej Awang Had Salleh telah mengadakan Majlis sambutan Awal Muharam 1445H pada 20 Julai 2023 yang lalu bertempat di Masjid Al-Mursyidin. Program ini dimulakan dengan bacaan Yasin dan Tahlil yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Majdan Ismail. Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh pengisi jemputan, iaitu Dai’ Izzhar dengan membawa tajuk ‘Stay atau Move On’ bersempena dengan sambutan awal Muharam 1445H.
Program ini telah dimeriahkan dengan kehadiran barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti antaranya Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Ir. Ts. Zulkefly Mohd Yusof, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril dan Pengarah Pusat Islam, Encik Muhammad Tarmizi Abdul Rahman.
Tambahan juga, program yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin ini turut mendapat sambutan yang meriah daripada para pelajar yang tinggal di dalam dan di luar kolej. Bertajukkan “Stay atau Move On” telah menarik ramai pelajar UPSI untuk mendengar pengisian daripada Dai’ Izzhar ini. Tajuk yang dibawakan bersesuaian dengan tema hijrah ke arah yang lebih baik di mana objektif utama program ini adalah untuk memberi semangat dalam diri dan mengajak warga UPSI untuk menggunakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT agar menjadi individu yang lebih baik berbanding tahun terdahulu supaya mampu menyiapkan diri dalam menghadapi masa depan yang tentunya lebih mencabar. Semoga program ilmiah seperti ini sedikit sebanyak dapat memberikan input yang bermanfaat kepada warga UPSI khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi walaupun dalam minggu yang agak sibuk untuk menghadapi peperiksaan.