Oleh: Noraini Aminuddin (FPE)
Tanjong Malim – Bertepatan dengan moto FPE yang mengamalkan konsep “Leading Future Minds”, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sentiasa menerapkan elemen dan kepakaran dalam kepimpinan bagi setiap program dan aktiviti yang dianjurkan pihak fakulti merangkumi segala aspek yang berkaitan dalam bidang perakaunan, ekonomi, pengurusan dan pentadbiran, keusahawanan, pemasaran dan sebagainya.
Bagi menerapkan konsep tersebut, FPE, di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) telah menganjurkan satu lagi program yang bertemakan Leaders Day Out pada 17 Julai baru-baru ini bertempat di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) UPSI.
Pelaksanaan program yang berjaya menghimpunkan kakitangan UPSI, pelajar dan komuniti Muallim ini bertujuan meraikan pemimpin pelbagai peringkat usia termasuk pemimpin-pemimpin cilik yang merupakan salah satu langkah, usaha serta sumbangan kecil yang bermakna dalam memartabatkan kepimpinan lestari bagi pemimpin sekitar.
Dekan FPE, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor dalam ucapannya mengungkapkan aktiviti-aktiviti seumpama ini wajar dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara UPSI dan masyarakat sekeliling yang merupakan salah satu medium ‘komunikasi’ bersama komuniti serta menjalinkan hubungan akrab dalam membentuk kepimpinan di pelbagai peringkat usia.
Pembukaan aktiviti yang meriah ini dimulai dengan sesi senaman ringkas, diikuti oleh permainan bertemakan kepimpinan untuk kanak-kanak dan turut disertakan dengan perkongsian ilmu yang menarik daripada Mantan Presiden, Persatuan Psikiatris Malaysia, yang juga merupakan Pakar Psikitatri dan juga Penceramah TV al-Hijah, Dr. Hazli Zakaria yang bertajuk “Kepimpinan Lestari: Aset Kesihatan Minda di Arus Kemelesetan Ekonomi”.
Program yang bermula pukul 9.00 pagi ini berjalan lancar dengan kerjasama dan penglibatan semua kakitangan FPE yang terlibat serta komitmen pelajar Persatuan Pengurusan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE) yang beribawa dalam mengelolakan aktiviti bagi program ini.
Para pengunjung yang terdiri daripada kakitangan universiti diberikan mata CPD manakala para pelajar UPSI diberikan mata MyCHAMP dan penutup program diakhiri dengan pembahagian Kentucky Fried Chicken (KFC) kepada semua pengunjung sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dalam menjayakan program ini.