Oleh: Mohamad Naqiuddin (YDP MMKHAR)
Tanjong Malim – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid telah mengadakan Bengkel Pengenalan Program High Impact MMKHAR 2023/2024 yang bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan program-program ‘high impact’ untuk merancang dan melakukan takwim tahunan bersama-sama pentadbiran dan felo-felo kediaman. Selain itu, semua MMK dapat menumpukan perhatian terhadap program berdasarkan KPI Universiti dan program yang dianjurkan menjurus ke arah anugerah yang dipertandingkan oleh Universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Menurut Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, “Program pada hari ini memberikan banyak informasi dan maklumat kepada para MMKHAR sidang 2023/2024 yang baru dilantik untuk memastikan program yang dijalankan berjalan dengan baik dan lancar seterusnya program memberi impak kepada universiti dan orang lain. Diharapkan semua MMK dapat mengambil cakna terhadap input yang diberikan dan dipraktikkan dalam program yang dijalankan”.
Bengkel yang dijalankan di Bilik Seminar, Pusat Pelajar BHEPA selama sehari disertai seramai 30 peserta daripada Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid hadir. Pihak penganjur telah menjemput Profesor Madya Dr. Mohd Izwan bin Shahril, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI selaku penceramah bagi slot 1 untuk menyampaikan ilmu berkaitan pengurusan program yang boleh memberikan impak kepada kolej, universiti dan komuniti.
Hasrat agar Majlis Mahasiswa Kolej sidang baru ini dapat menimba ilmu yang diberikan supaya Kolej Harun Aminurrashid kembali gah dan kembali menjadi Kolej No. 1 Universiti Pendidikan Sultan Idris serta di persada antarabangsa.