Oleh : Nur Azean binti Abd Rahim
Bangkok, Thailand – Kolej Harun Aminurrashid Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berjaya menjalankan program delegasi Go Global 2023: Mobiliti Outbound Thailand pada 31 Julai sehingga 6 Ogos 2023 dengan kerjasama Pusat Mobiliti dan Antarabangsa (IMC), UPSI. Program delegasi yang diadakan selama 7 hari ini melibatkan 31 orang Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (UPSI) dan 2 orang felo kolej kediaman selaku pegawai pengiring.
Objektif pelaksanaan program delegasi UPSI-Thailand Go Global 2023 Mobiliti Outbound adalah untuk mewujudkan kerjasama dua hala dalam aspek pembangunan sahsiah serta memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap persekitaran sistem pembelajaran di Malaysia dan Thailand melalui sesi dialog bersama Universiti Chulalongkorn. Pelaksanaan program delegasi ini juga bertujuan untuk memperkaya pengalaman serta memperkasakan mahasiswa bagi memenuhi keperluan global.
Program delegasi ini turut mengadakan sesi dialog di antara Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid dan Perwakilan Pelajar Universiti Chulalongkorn yang diketuai oleh Fahtawan Chokchaipisal dari Fakulti Komunikasi Bahasa, Universiti Chulalongkorn, Thailand. Dalam sesi dialog tersebut, mahasiswa bertukar-tukar maklumat dan idea baharu terhadap budaya sistem pembelajaran di antara dua universiti. Di samping itu, sesi dialog ini juga turut membincangkan konsep dan amalan pembelajaran mahasiswa di kedua-dua universiti. Input sesi dialog ini dapat membantu mahasiswa mengimplementasi pengalaman akademik serta menjalinkan kerjasama berterusan kedua universiti.
Sementara itu, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah menjelaskan program Go Global 2023 Mobility Outbound UPSI-Thailand ini memberi impak tinggi kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam usaha memperkasakan mahasiswa dari pelbagai aspek. “Program delegasi ini bukan hanya dapat mengukuhkan hubungan akademik dan memperkaya akademik mahasiswa kedua universiti bahkan membuka peluang mahasiswa mengadaptasi pertukaran pengetahuan, perkongsian idea dan pemahaman budaya sekaligus menjadikan delegasi ini sebagai suatu kelebihan mahasiswa UPSI untuk lebih berdaya saing”.
“Ia sememangnya menjadi sebahagian matlamat UPSI untuk melahirkan mahasiswa profesional yang berwibawa serta berprestasi menjadi pakar rujuk di peringkat global” katanya lagi.
Di samping itu, program delegasi ini berjaya melaksanakan misi kebajikan antarabangsa melalui University Social Responsibility (USR) dengan memberi sumbangan kepada Pusat Anak Yatim Islam Thailand di Ramkhamhaeng, Bangkok pada 04 Ogos yang lalu. Selari dengan misi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjana ilmu bagi membangunkan mahasiswa madani, maka pelaksanaan program ini dapat melatih mahasiswa untuk menjadi mahasiswa prihatin, berkepimpinan, berbakat tinggi serta memberi sumbangan berterusan kepada kesejahteraan sejagat.
Penasihat program Go Global 2023 Mobility Outbound UPSI-Thailand, Pn. Nur Azean binti Abd Rahim menyifatkan program delegasi ini mampu menyemarakkan keterampilan mahasiswa secara globalistik. “Selain dapat menjelajah budaya masyarakat Thailand, pelajar juga dapat memperluas hubungan akademik melalui perkongsian ilmu antara dua universiti serta dapat meningkatkan nilai kepimpinan dan sahsiah mahasiswa secara holistik melalui kerjasama antarabangsa. Perkongsian pengalaman akademik pelajar dalam aspek pemahaman budaya menjadi keutamaan misi delegasi ini” katanya lagi.
Chia Hei Min, selaku Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2022/2023 merangkap pengarah program Go Global 2023 Mobility Outbound UPSI-Thailand menjelaskan program delegasi ini berjaya mencapai objektif pelaksanaan dan diharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya penerapan elemen kerjasama dan kolaborasi dapat dibentuk dengan lebih mendalam dalam diri mahasiswa UPSI.
Program delegasi Go Global 2023 Mobility Outbound berupaya membina jaringan kerjasama antara universiti di peringkat antarabangsa untuk menjana pengetahuan akademik, mengembang dan berkongsi ilmu bagi memperkasakan mahasiswa madani yang unggul dan berkualiti agar dapat memenuhi keperluan global. Tambahan pula, program ini bukan hanya berjaya mengeratkan kerjasama baik antara mahasiswa Thailand dan Malaysia, malahan meningkatkan pemahaman budaya dengan lebih mendalam dalam kalangan mahasiswa UPSI.