Oleh: Nur Khairunnisa Ezani, Afifah Adriana Aznan (UCTC) & Nurul Hafizan Abdul Rahman (BKK)

Tanjong Malim: Program pertukaran pelajar adalah inisiatif terbaik ke arah memupuk persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama daripada pelbagai negara. Ianya dilihat sebagai satu elemen penting dalam usaha untuk mengantarabangsakan sektor pendidikan di negara ini.

Sehubungan itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris berbesar hati menerima delegasi Program International Mobility bersama UPSI sempena Student Exchange UNIGA 2023 Universitas Garut (UNIGA), Indonesia yang terdiri daripada 2 orang pensyarah pengiring dan 20 orang mahasiswa pelbagai bidang antaranya Program Studi Pendidikan Olahraga, Program Studi Pendidikan Guru Sekolah Dasar,  Program Studi Pendidikan Ilmu Pengetahuan Alam, Program Studi Pendidikan Guru Madrasah Ibtidaiyahn dan Program Studi Pendidikan Fisika.

Program selama 10 hari 9 malam bermula pada 27 Julai 2023 sehingga 5 Ogos 2023 telah diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba dan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki.

Antara aktiviti yang dijalankan di Fakulti Pembangunan Manusia
Youth Roundtable Symposium

Sepanjang tempoh program berlangsung, pelbagai slot aktiviti telah dijalankan seperti Lawatan ke Fakulti Pembangunan Manusia, Program Bersama Institut Pengajian Siswazah, Konsert Nusantara Warisan Serumpun Antarabangsa 7.0 Madani Nusantara yang menyaksikan pelbagai persembahan menarik daripada kedua-dua universiti, Eksplorasi Silang Budaya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Program UPSI-UNIGA Edu-Challenge@Edu-Forest, Class Session, Jejak Kampus UPSI, Youth Roundtable Symposium, Aktiviti Sukarelawan di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kunjungan Hormat ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Slot Potensi Diri bersama Pusat Kaunseling UPSI dan diakhiri dengan Majlis Penutupan International Mobility Program Universitas Garut.

Aktiviti Sukarelawan di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih
Aktiviti Sukarelawan di SK Pos Bersih

Dalam pada itu, turut diadakan majlis pertukaran Surat Hasrat (LOI) di antara UPSI dan Universitas Garut yang melibatkan semua fakulti di UPSI. Dengan matlamat untuk meneroka kemungkinan dan kebolehlaksanaan menjalankan projek kerjasama yang berpotensi seperti penganjuran persidangan, penubuhan pusat penyelidikan, peluang untuk lawatan sambil belajar, penglibatan program khidmat masyarakat dan banyak lagi.

Program UPSI-UNIGA Edu-Challenge@Edu-Forest di Edu-Forest UPSI, Sg. Dara, Behrang dijalankan secara santai dengan pendedahan pelbagai aktiviti outdoor yang berkonsepkan survival seperti jungle trekking, water confident dan mini game yang dapat membina daya kepimpinan serta ketahanan fizikal dan mental dalam kalangan pelajar di samping menikmati keindahan alam semulajadi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin

“Program pertukaran pelajar adalah inisiatif terbaik ke arah memupuk persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama daripada pelbagai negara. Dalam membina jaringan perhubungan kerjasama antara dua hala ini, UPSI-UNIGA akan mengadakan program sepanjang kerjasama di masa hadapan seperti Mobiliti Pelajar dan Akademia Antara Dua Universiti, Dual Degree, Join Publication, Matching Grant dan kerjasama perundingan dalam bidang pendidikan.

Beliau juga berharap hubungan antara dua hala ini dapat membantu memperkasakan penerokaan bidang-bidang baharu yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua buah universiti ini pada masa hadapan disamping merintis jalan untuk lebih ramai pelajar datang sama ada ke Indonesia atau pelajar Indonesia untuk menyambung pengajian mereka di Malaysia.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr. Mohd Izwan bin Shahril

“Melalui program ini, perluasan dan pembangunan sifat kepimpinan mahasiswa dapat diterapkan kepada diri mahasiswa dan seterusnya memupuk minat serta kecenderungan mahasiswa terhadap pembentukan organisasi dan perhubungan dengan pihak luar negara secara berkesan. Selain itu, program ini juga dapat membudayakan nilai ukhwah yang tinggi dalam diri kalangan mahasiswa. Tambahan lagi, melalui program ini juga dapat melahirkan mahasiswa khususnya bakal pendidik yang kuat daripada segi dalaman seperti berkeyakinan, aktif, bertanggungjawab, berdikari,menjalinkan hubungan dan komunikasi positif dengan pihak luar.”

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah

“Dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan, ia menjadi satu platform untuk peserta berkongsi ilmu pengetahuan dan pandangan antara dua universiti selain secara tidak langsung mempromosikan kepelbagaian budaya yang dimiliki negara ini.”

Dosen Universitas Garut, Indonesi, Dr. Asep Angga Permadi, M.Pd.

“Kami penuh harap dan antusias menyambut tahun-tahun mendatang dalam Program Student Mobility and Exchange. Dengan keyakinan bahwa pengalaman lintas budaya memiliki potensi untuk menginspirasi, memberi wawasan, dan membuka pintu kesempatan baru, kami berharap agar program ini terus berkembang dan memberikan peluang yang lebih luas bagi para pelajar untuk memperluas pemahaman global, serta membangun hubungan yang langgeng melintasi batas-batas negara. Kami berharap agar kolaborasi lintas institusi semakin diperkuat, rintisan kerjasama akademik semakin beragam, dan pemahaman lintas budaya semakin dalam. Melalui program ini, diharapkan akan lahir para pemimpin masa depan yang tidak hanya berkualitas akademik, tetapi juga memiliki kepekaan terhadap kompleksitas dunia yang semakin terhubung.”

Pengarah Program, Nur Khairunnisa

“Kunjungan Delegasi UNIGA ke UPSI merupakan salah satu platform bagi pertukaran idea antara mahasiswa yang beridealisme, proaktif, dan kreatif. Di samping itu, melalui program ini juga mahasiswa diberikan peluang untuk melakukan kerja-kerja khidmat bersama komuniti bagi memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri serta mengeratkan hubungan dua negara iaitu antara warga Universitas Garut dan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris.”

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)