KOTA TINGGI – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor pada 22 Julai lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jaafar Albar, Kota Tinggi, Johor. Dalam masa yang sama, sesi menandatangani Surat Akujanji (LoU) di antara enam (6) buah sekolah di Daerah Kota Tinggi iaitu SMK Air Tawar, SMK Seri Aman, SMK Bandar Easter, SMK Lokman Hakim, SMK Tan Sri Jaafar Albar dan SMK Bandar Kota Tinggi turut diadakan.

Sesi menandatangani Surat Akujanji (LoU)

Dengan peruntukan sebanyak RM30,479.00, program UPSI Smarthome Schooling@Johor bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan murid B40 berfokus kepada calon SPM 2023 dalam lima (5) mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah serta menggunakan lima (5) modul komprehensif berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM) dari penulis berpengalaman, disertakan nota ringkas dan padat serta soalan latihan berfokus.

Dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, program bermula pada 1 Ogos 2023 sehingga 22 Oktober 2023. Melalui program ini juga, UPSI memberikan khidmat bantuan kepakaran akademia UPSI kepada komuniti berkonsepkan “Educating Communities” sekaligus meningkatkan lagi penglibatan universiti dalam masyarakat dan komuniti.

Program ini turut memberikan pendedahan kepada mahasiswa secara autentik dalam dunia pendidikan bagi menangani situasi pandemik. Selain itu, ia juga memberi pengiktirafan kepada ikon alumni UPSI sebagai pakar rujuk bidang pendidikan di Malaysia. Tenaga pengajar yang terlibat adalah terdiri daripada Alumni UPSI & mahasiswa UPSI. Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPr) secara kelas juga
akan dilaksanakan secara bersemuka dan melalui saluran Youtube.

Program ini diharap dapat melonjakkan kendiri serta memperkukuhkan Efikasi Kendiri & Motivasi, juga meningkatkan kestabilan emosi dan jati diri setiap pelajar. Ianya juga akan membantu membuka laluan kerjaya pada masa hadapan kepada semua pelajar yang terlibat.

“Jadi, saya harap, kesemua sekolah yang terlibat akan mengambil peluang ini untuk memanfaatkan sebaik mungkin kelas tuisyen percuma yang akan digerakkan oleh warga UPSI dan guru-guru yang terlibat. Sasaran kita untuk memastikan program ini berupaya meningkatkan kecemerlangan para pelajar di Kota Tinggi dalam SPM yang bakal mereka tempuh kelak, hanya akan tercapai apabila semua pihak
memberikan yang terbaik”.

Pada majlis itu juga, YB Menteri turut merasmikan Bas Pendidikan atau UPSI Edu Bus yang merupakan satu medium pendidikan mobil dengan dilengkapi alatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selari dengan kurikulum terkini, dengan penambahbaikan dari sudut pendigitan pendidikan. Dengan kerjasama bersama Creative Mind Sdn. Bhd. dan Yayasan Telekom Malaysia Berhad, program TM Future Skill Certification dijalankan secara selari dengan pergerakan bas ke sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan berkaitan dunia digital dan literasi STEM dalam kerjaya.

YBM diberi penerangan tentang Edu Bus