Kota Tinggi- Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI) telah menganjurkan Kursus Bersama dengan Guru  Pemulihan Khas pada 15 Ogos 2023. Antara program yang dilaksanakan Profiling Individu Kanak-kanak Pemulihan Tahap Satu Sekolah Rendah, Perbezaan Individu Murid Pemulihan Khas dan Kajian Tindakan Terhadap Perbezaan Murid Pemulihan Khas. Program ini termasuk dalam siri Smart Home Schooling Kota Tinggi 2023 yang melibatkan 80 orang peserta bersama 4 orang pensyarah UPSI. Jangkaan hasil program adalah dapat membantu peserta membina amalan terbaik dalam pengajaran murid pemulihan khas melalui pendekatan psikologi dan kajian tindakan.

Sehubungan itu, program ini dilaksanakan secara bersemuka di Dewan PPD, Kota Tinggi, Johor anjuran kerjasama UPSI dan PPD Kota Tinggi, Johor. Objektif program adalah bagi memantapkan pengetahuan tentang profiling individu kanak-kanak pemulihan, perbezaan individu dan kajian tindakan dalam pendidikan di kelas pemulihan khas. Di samping itu  meningkatkan kualiti latihan keguruan dan pendidikan di daerah Kota Tinggi bagi peserta membina teknik amalan terbaik pengajaran dan pembelajaran murid pemulihan khas. Majlis Perasmian yang diadakan pada 22 Julai lepas telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi. Dalam majlis tersebut YB Dato’ menekankan tentang tanggungjawab sosial universiti yang mesti dirancang sebagai satu khidmat masyarakat dengan cara yang benar-benar menyumbang kepada masyarakat secara bermakna.

Manakala, Naib Canselor UPSI Prof Dato’ Dr Md. Amin Md. Taff dalam ucapannya pada majlis perasmian, berjanji membawa ilmu dan kemahiran dari UPSI ke Kota Tinggi untuk guru dan pelajar. UPSI memiliki bidang kepakaran yang diperlukan warga pendidik di Kota Tinggi dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya dalam membantu murid di sekolah bagi setiap mata pelajaran dan pengurusan pembelajaran.

Pegawai PPD Kota Tinggi, Tuan Hj Mohd Fahdil Ishak dalam Kursus ini mengharapkan satu perubahan positif terhasil selepas ini khususnya kepada murid pemulihan khas. Guru-guru yang mengikuti kursus ini seharusnya membawa balik ilmu dan kemahiran tambahan yang diberikan oleh pakar-pakar daripada UPSI untuk diterapkan dalam pembelajaran di sekolah. Kandungan utama yang disampaikan oleh empat orang pakar dalam tentang  Profiling Individu Kanak-kanak Pemulihan Tahap Satu Sekolah Rendah dan Perbezaan Individu dan Pendidikan Murid Sekolah Rendah adalah berkaitan gaya pembelajaran dan faktor murid menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M yang disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif. Perhatian terhadap murid pemulihan khas boleh dilakukan berasaskan kepada teori-teori terpilih seperti Teori Tugas Perkembangan Havighurst, Teori Sosial Erikson dan Teori Psikodinamik Sigmund Freud.

Selain itu, murid perlu menguasai kemahiran menulis dengan menggunakan pelbagai pendekatan, teknik atau strategi yang mengutamakan ciri-ciri pembelajaran aktif, seperti menggunakan pendekatan pembelajaran ‘Ceria, Bermain dan Belajar’ dan mengelakkan daripda pembelajaran membaca dan menulis yang membosankan.  Seramai empat orang pakar dalam pendidikan memberi input dan sebagai fasilitator dalam program ini. Antara tajuk yang telah dibentangkan adalah Profiling Individu Kanak-kanak Pemulihan Tahap Satu SR oleh Prof. Dr. Nordin Mamat dan Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad,  Perbezaan Kanak-kanak oleh Dr.Mohd Razimi Husin dan Kajian Tindakan Terhadap Perbezaan Murid Pemulihan Khas oleh Dr. Romarzila Omar. Program ini telah menonjolkan kemampuan CPRI, UPSI dalam menyediakan pakar dan rujukan dalam pendidikan.  Di samping itu, akan menghasilkan hubungan kerjasama yang lebih jitu antara UPSI dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah-sekolah bagi merealisasikan amalan pembelajaran terkini dan berkesan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)