Oleh: Ali Zainal Abidin Lokman (Pusat KO)
Tanjong Malim –Kekurangan yang ada pada diri pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) tidak menghalang mereka menjalani aktiviti perkhemahan perdana di UPSI Adventure Park. Perkhemahan yang dijalankan dari 15 Ogos hingga 17 Ogos ini melibatkan seramai 29 pelajar lelaki dan perempuan serta 16 orang guru pembimbing.
Menurut Pengetua SMK Putrajaya Presint 9 (2) Rogayah Talib, Perkhemahan Kokurikulum Tahunan PPKI yang dijalankan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar PPKI berkaitan aktiviti perkhemahan dan aktiviti sukan lasak. Katanya, beliau berpuas hati apabila semua pelajar PPKI dapat melaksanakan aktiviti yang dirancang dengan menggunakan kaedah yang bersesuaian.
“Bila kita berikan pendedahan dan kepercayaan kepada mereka, saya lihat para pelajar mampu melaksanakan dengan baik apa yang diajarkan. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan mereka mempunyai jati diri yang kuat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rogayah Talib memberitahu, perkembangan itu menunjukkan pelajar PPKI mampu melangkah lebih jauh jika diberikan ruang dan peluang oleh golongan ibu bapa. Katanya lagi, ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini tidak perlu takut sebaliknya perlu terus memberikan sokongan supaya mereka mampu menjalani kehidupan seperti individu normal yang lain.
“Perkhemahan Kokurikulum ini juga menekankan aspek perkhemajan, keagamaan, kesenian dan cabaran explorasi,” ujar beliau.
Pelbagai aktiviti dirangka sepanjang perkhemahan berlangsung seperti abseiling, flying fox, elemen tali tinggi, kayak dan jungle trekking. Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof. Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim berkata, beliau berterima kasih kepada pihak SMK Putrajaya Presint 9 (2) kerana sudi menggunakan khidmat dan fasiliti di UPSI Adventure Park bagi menjayakan , Perkhemahan Kokurikulum Tahunan bagi pelajar PPKI.
Menurut beliau, UPSI sentiasa terbuka hati menerima kehadiran pelajar aliran perdana mahupun PPKI untuk menjalankan aktiviti perkhemahan dan aktiviti lasak.
“Bagi pelajar PPKI, modul khas akan digunakan bagi menarik minat mereka dalam merasai kenikmatan untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan sukan lasak.”