Oleh: Muhammad Faizul Nazrul bin Hamzah

Thailand- Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris  telah berjaya menjalankan Program Sangkutan Mobiliti Outbound Tidak Berkredit, Peringkat 3 (P3) pada 30 Julai sehingga 10 Ogos 2023 di Selatan Thailand, dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Pusat Mobiliti dan Antarabangsa (IMC), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI. Program sangkutan  yang diadakan selama 12 hari ini melibatkan 26 orang ahli KeSUA diiringi oleh dua orang pegawai Pusat Ulul Albab.

Tujuan utama pelaksanaan Program Sangkutan Mobiliti Outbound Tidak Berkredit adalah untuk membina dan memperkukuhkan hubungan antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Fatoni (FTU) dan Gabungan sekolah-sekolah swasta sekitar Selatan Thailand. Program ini juga membuka peluang yang luas kepada semua pihak yang terlibat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang pendidikan. 

Gambar kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla

Dalam program sangkutan ini, para peserta dan pegawai-pegawai yang terlibat, berkesempatan untuk mengadakan Kunjungan Hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand pada 31 Julai 2023. Sesi dialog antara ahli KeSUA dan Encik Suhaimi Ahmad, Konsul III Jeneral Malaysia Songkhla, diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta berkenaan prosedur yang perlu diketahui apabila berlaku sesuatu kepada warganegara Malaysia sewaktu berada di Thailand.

Dr. Abdullah Umar
Dr. Sakinah
Majlis Perasmian dan Penyerahan Pelajar di Fakulti Pendidikan, FTU

Majlis perasmian penyerahan pelajar UPSI kepada sekolah-sekolah Assalam Network yang berlangsung di Fakulti Pendidikan, Universiti Fatoni (FTU) pada 1 Ogos 2023 memberikan impak kepada UPSI dan FTU dalam usaha membentuk modal insan dan kualiti pendidik yang cemerlang. Seterusnya, pihak FTU turut berbesar hati dan berterima kasih kepada UPSI atas kesudian hadir ke FTU bagi menjayakan program ini. Kata Timbalan Rektor HEPA FTU, Asst. Prof. Dr. Abdullah Umar “Program seperti ini dapat melatih bakal-bakal pendidik lebih awal berkenaan dunia pendidikan baik di Malaysia mahupun di Thailand”.

Tambahan beliau, “Mengembara ke luar negara dan berinteraksi dengan komuniti setempat memberikan pengalaman yang berharga kepada mahasiswa. Mereka bukan sahaja dapat memperoleh pengetahuan baru, tetapi juga belajar untuk beradaptasi dengan persekitaran yang berbeza, meningkatkan keyakinan diri, dan memperkasakan  kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam dunia pendidikan”. 

Pengarah Pusat Ulul Albab, UPSI, Dr. Sakinah Salleh menjelaskan bahawa program ini dapat memberikan pendedahan dan persiapan awal kepada mahasiswa UPSI, sebelum menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik kelak. “Melalui interaksi dan pertukaran budaya, mahasiswa yang majoritinya adalah bakal pendidik dapat memperoleh kemahiran interpersonal, pemahaman antara budaya, dan nilai-nilai lain yang penting dalam pembangunan sahsiah seorang pendidik”.

Delegasi KeSUA ke Munok, Thailand

Di samping itu, program sangkutan ini berjaya melaksanakan misi kebajikan antarabangsa melalui Corporate Social Responsibility (CSR) dengan memberi sumbangan kepada mangsa letupan di Munok, Thailand pada 3 Ogos 2023, turut bersama misi ini empat (4) orang wakil peserta program sangkutan.  Peserta juga berpeluang melaksanakan program ternakan Agro Teknologi Penternakan Lembu di Yala, Thailand. Melalui program ini, peserta diberi pendedahan mengenai teknologi yang digunakan bagi menghasilkan makanan lembu daripada pemprosesan pelepah kelapa sawit.

Sesi Pengajaran dan Pembelajaran ‘Mikro Teaching: Pemerkasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris’ di Yala
Sesi Pengajaran dan Pembelajaran ‘Mikro Teaching: Pemerkasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris’ di Krabi

Seterusnya, pada 8 hingga 9 Ogos 2023 peserta berpeluang untuk melaksanakan Pengajaran Mikro: Pemerkasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris’ di 6 buah sekolah yang bernaung di bawah Integrated Islamic School Network (IISN) Krabi, Thailand. Pelaksanaan pengajaran mikro  ini selaras dengan matlamat UPSI yang menekankan kepentingan pendidikan holistik yang melibatkan penguasaan ilmu serta  pembentukan karakter, etika profesional, dan keupayaan untuk berfungsi dengan baik dalam komuniti global. 

Majlis Perasmian dan Penyerahan Pelajar di Krabi

Majlis perasmian penyerahan pelajar UPSI kepada sekolah-sekolah yang bernaung di bawah IISN, Krabi telah berlangsung di Bida Daree Resort Ao Nang, Krabi dan dirasmikan oleh Ustaz Ali bin Ahmad, Pengarah Sekolah Poomsawan Wittaya dan turut hadir beberapa wakil sekolah yang lain. Beliau mengatakan “Program sangkutan ini menjadi medan untuk para pelajar sekolah yang bernaung di bawah IISN Krabi, meningkatkan kemahiran dalam bertutur Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu mereka. Majoriti pelajar di Krabi  tidak begitu fasih dalam bertutur kedua-dua bahasa tersebut. Dalam masa yang sama, melalui sesi pengajaran mikro ini, UPSI mampu melahirkan mahasiswa yang kompeten serta mampu bersaing  di peringkat global.

Muhammad Faizul Nazrul, selaku pengarah program International Mobility Program Jelajah Ulul Albab menjelaskan program delegasi ini berjaya mencapai objektif pelaksanaan dan diharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. “Program ini telah berjaya mencapai matlamat utamanya untuk membina seorang mahasiswa yang berkebolehan. Perkata ini sekaligus menunjukkan bahawa UPSI tidak hanya menekankan pengetahuan teoretikal, tetapi juga menghargai pengembangan kemahiran profesional. Ini melibatkan latihan praktikal pendedahan kepada situasi kehidupan sebenar di mana mahasiswa boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari.”

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)