Oleh: Amirul Haiqal bin Amirrudin Baki

Tanjong Malim- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI menerima kunjungan daripada MPP USIM bagi program Jaulah Mahabbah MPP USIM pada 27 Ogos 2023. Kunjungan ini disambut baik oleh MPP UPSI untuk meraikan pertukaran pendapat dan berkongsi tentang kejayaan dan fasiliti yang ada di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Hal ini selari dengan hasrat Naib Canselor UPSI, Prof. Dato Dr. Md Amin Md Taff yang menggalakkan pelajar UPSI untuk menerapkan elemen BANGGA UPSI.

MPP UPSI sempat berkongsikan kejayaan 205 pelaksanaan bagi separuh sidang mereka kepada MPP USIM dengan hasrat mereka mendapat idea baharu tentang program atau inisiatif yang boleh dilakukan di universiti mereka. 205 pelaksanaan ini merupakan satu angka yang besar merangkumi 59 pelaksanaan program, 3 misi kemanusiaan, 63 aktiviti bersama mahasiswa dan komuniti, 29 inisiatif, 40 kunjungan hormat dan 12 artikel.

Sesi perbincangan dua hala MPP UPSI-MPP USIM

Dalam kunjungan ini MPP UPSI sempat membawa MPP USIM melawat kampus dan melihat fasiliti-fasiliti yang ada di UPSI. Antara fasiliti yang dilawati oleh MPP USIM adalah kolej kediaman UPSI, Rooftop Cafe Scholar’s Suite, Pusat Sukan dan UPSI Adventure Park. Mereka teruja dengan fasiliti UPSI yang lengkap dan mengikut spek antarabangsa. Hal ini kerana UPSI mempunyai Pusat Sukan yang mempunyai stadium, kolam renang dan arena yang mempunyai gelanggang yang sering digunakan bagi upacara sukan berprestij dalam dan luar negara.

Lawatan ke Rooftop Cafe, Scholar’s Suite

MPP UPSI sedia untuk menjadi contoh bagi kepimpinan berkualiti dan menerima kunjungan dari rakan universiti lain. Yang Dipertua MPP UPSI, saudara Nik Ahmad Nuri berkata, kesemua aktiviti yang dijalankan perlulah direkodkan dan disimpan data tersebut. Data ini kemudian dikumpulkan seperti pelaksanaan MPP ini untuk kita ketahui kejayaan yang kita telah kecapi. Tambahan, beliau meletakkan sasaran pelaksanaan MPP UPSI bagi sidang 2022/2023 adalah sebanyak 400 pelaksanaan di akhir sidang ini.