Oleh: Mohamad Basri Jamal & Presley Paska Ting (Persatuan Pengajian Malaysia)

Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan secara gahnya telah meraikan kedatangan pelajar baharu ambilan Oktober sesi 2023/2024 melalui penganjuran program orientasi yang telah disertai oleh kesemua enam jabatan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) pada 18 Oktober.

Program orientasi tersebut telah disertai kira-kira 300 orang pelajar daripada pelbagai kursus yang berbeza termasuklah para pelajar daripada kursus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan. Program dimulakan dengan Majlis Ikrar Pelajar bersama Setiausaha Politik (SUPOL) Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Hj. Mohammad Khairi Hj. A Malik yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI.

Seterusnya, program diteruskan dengan sesi taklimat bersama fakulti masing-masing yang diadakan di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Sesi taklimat bersama fakulti telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa dan turut disertai oleh barisan Timbalan Dekan FSK, barisan Ketua Jabatan, barisan Penyelaras Kursus, Penolong Pendaftar serta barisan pensyarah di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan.

Sesi taklimat bersama Fakulti ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan pelajar baharu FSK kepada barisan pengurusan tertinggi fakulti di samping dapat memberikan sedikit perkongsian mengenai segala program dan pencapaian yang telah dikecapi oleh FSK dan diakhiri dengan taklimat bersama jabatan masing-masing. Slot taklimat bersama Jabatan Pengajian Malaysia telah berlangsung di E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Sesuai dengan pembukaan sesi ambilan pelajar baharu, program orientasi pelajar baharu ini diadakan bagi meraikan kedatangan para pelajar Ijazah Sarjana Muda Semester 1 Ambilan Oktober 2023/2024. Selain daripada memperkenalkan barisan pengurusan tertinggi fakulti, Majlis Perwakilan Pelajar dan persatuan badan pelajar di bawah jabatan masing-masing, program orientasi pelajar baharu ini turut menfokuskan kepada usaha untuk mempersiapkan pelajar baharu dengan ilmu dan pengetahuan yang mereka perlukan bagi menghadapi liku-liku kehidupan dalam bergelar seorang pelajar universiti.

Campus Life” atau kehidupan di universiti merupakan antara perkara yang dititikberatkan di dalam penganjuran program orientasi pelajar baharu ini bagi memberikan pendedahan awal kepada mereka sebelum menempuhi kehidupan sebagai mahasiswa mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris yang tercinta. Di samping itu, program orientasi pelajar baharu ini turut diadakan bagi merangsang pelajar baharu untuk turut serta dalam persatuan atau program yang dianjurkan bagi memupuk sifat kerjasama dalam pasukan seterusnya membantu mereka mengukuhkan lagi soft skills mereka terutamanya daripada segi komunikasi bersama rakan-rakan yang berbeza kursus.

Dr. Kalsum memberikan ucapan beliau ketika sesi taklimat bersama jabatan

Ketua Jabatan Pengajian Malaysia, Dr. Kalsum Umar berkata, “Setiap pelajar baharu hendaklah sentiasa mendambakan ilmu pengetahuan dan menjadikan ilmu  pengetahuan sebagai perkara mustahak yang harus diutamakan sepanjang bergelar mahasiswa universiti”.

Selain itu, beliau turut menekankan para pelajar untuk memahami struktur pengajian dengan sebaik-baiknya agar tidak berlaku keciciran semasa mendaftar semester yang baharu bagi memastikan pelajar dapat Graduate On Time (GOT). Beliau turut menjelaskan mengenai pembaharuan yang telah dilaksanakan di peringkat fakulti di mana para pelajar baharu diwajibkan untuk mengambil kursus bahasa asing bagi memberikan nilai tambah ke dalam diri setiap pelajar.

Muhammad Hafizuddin memperkenalkan barisan Majlis Tertinggi PPMas kepada pelajar baharu

Muhammad Hafizuddin Ahmad Zawawi merangkap YDP Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) dalam ucapannya berkata bahawa setiap pelajar baharu amatlah dialu-alukan untuk terlibat dalam persatuan dan program. Beliau turut mempromosikan laman media sosial rasmi PPMas sebagai salah satu usaha untuk menarik minat para pelajar baharu untuk menyertai persatuan dan seterusnya menyumbangkan tenaga dan idea mereka dalam meningkatkan mutu dan nama baik Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas).

Dr. Kalsum sekali lagi menegaskan semua pelajar baharu untuk memanfaatkan semua kemudahan dan fasiliti yang ada di UPSI dan tidak sekadar menjadi pelajar 3K (Katil, Kafe, Kuliah). Kesempatan dan peluang yang diberikan untuk menjejakkan kaki ke menara gading haruslah menjadi pemangkin semangat untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan yang boleh dibanggakan bukan sahaja untuk UPSI malah untuk diri sendiri, keluarga dan juga negara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)