UPSI 29 Oktober 2023 – Persatuan Teknologi Maklumat (PTM), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) telah menganjurkan program “PTM SportFest: Dodgeball” bertempat di Arena, Pusat Sukan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Program ini telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 100 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa/i ISMP Teknologi Maklumat (AT20) di bawah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, FKMT dan telah disempurnakan perasmiannya oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Suzani binti Mohamad Samuri, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKMT.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk menggalakkan mahasiswa/i FKMT bergiat aktif dalam aktiviti sukan serta mendedahkan mereka dengan sukan Dodgeball. Program ini dikhususkan bagi mahasiswa/i AT20 merentas semester di mana ia dapat menjadi satu platform untuk mereka berkenal-kenalan seterusnya mengeratkan lagi ukhuwah sesama mereka.
Para peserta PTM SportFest: Dodgeball menampilkan semangat kesukanan yang tinggi
Untuk penganjuran kali ini, PTM telah berkolaborasi bersama Persatuan Hydra Dodgeball UPSI yang banyak membantu dari segi teknikal di samping memberi penerangan dan pendedahan yang lebih mendalam kepada para peserta berkenaan permainan Dodgeball. Untuk itu, PTM merancang untuk meneruskan penganjuran permainan Dodgeball ini sehingga ia dapat dijadikan acara riadah bulanan untuk ahli-ahli PTM.
Akhir sekali, PTM berharap akan berpeluang lagi untuk menganjurkan program dan aktiviti bersifat sukan dan riadah seperti Sportfest: Dodgeball ini di masa hadapan agar dapat menjadi wadah untuk semua ahli PTM kekal aktif dan cerdas.
Ahli jawatankuasa program bersama pengadil dari Persatuan Hydra Dodgeball UPSI