UPSI, 28 Oktober 2023 – Telah dilangsungkan Kursus Pemantapan Organisasi dan Pengurusan Acara Persatuan Pelajar Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META). Kursus ini telah dihadiri oleh  barisan kepimpinan Persatuan Pelajar META iaitu daripada Persatuan Teknologi Maklumat (PTM), Persatuan Multimedia Kreatif (PMK), Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP)  dan Persatuan Permainan Digital (PPD) seramai 80 orang.  Kursus ini telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim, Dekan Fakulti META.

Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada proses perancangan, pelaksanaan, dan pengurusan acara dan program tertentu seperti seminar, persidangan, pameran, festival dan banyak lagi. Tujuan utama program ini adalah untuk memastikan bahawa acara yang dirancang akan berjalan lancar, memenuhi matlamatnya, dan memberikan pengalaman positif kepada semua pihak terlibat. Para peserta kursus juga didedahkan dengan beberapa aspek penganjuran acara meliputi bajet, logistik dan pengurusan tempat, pengurusan risiko, kandungan acara, pengurusan peserta serta pengurusan sumber manusia. Kursus ini telah dikendalikan oleh Puan Marlina Manja binti Che Baharum, Penolong Pendaftar Kanan Fakulti META dan Encik Mohamad Izzuddin bin Zakaria, Eksekutif Kanan, Perdagangan & Perkhidmatan, UPSI Holdings Sdn Bhd.

Puan Marlina Manja menyampaikan perkongsian berkenaan penyediaan kertas kerja

Pada sesi pagi, kursus ini dimulakan dengan perkongsian tatacara penyediaan kertas kerja yang lebih tepat dan pengendalian perancangan program High Impact oleh Puan Marlina Manja. Selepas itu kursus diteruskan dengan sesi bengkel yang dipimpin oleh Encik Izzuddin Zakaria mengenai kaedah dan proses yang betul untuk memohon kelulusan sesuatu program berserta tajaan. En Izuddin merupakan mantan pelajar UPSI yang pernah menganjurkan program yang berimpak tinggi sehingga dinobatkan sebagai pemenang di majlis Anugerah Keterampilan Pelajar (AKP) dan Anugerah Tokoh Siswa (ATS).

Encik Izzuddin mengendalikan sesi bengkel

Seterusnya, pada sesi petang telah diadakan sesi praktikal penganjuran program di mana para peserta didedahkan dengan protokol majlis yang tepat dan bersesuaian. Dengan adanya sesi ini peserta dapat gambaran yang jelas dan belajar dari kesilapan yang sering dilakukan sewaktu mengendalikan tugas protokol.          

Akhir sekali, Fakulti META mengharapkan agar kursus ini dapat memberikan input yang berguna kepada para peserta demi untuk mereka dapat melaksanakan acara, program dan aktiviti yang lebih tersusun dan profesional di masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)