Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi (Pegawai U-Media UPSI)

UPSI, 02 November 2023: Forum Integriti bertajuk ‘Transparent vs Fake’ telah diadakan bersempena Sambutan Hari Integriti Peringkat UPSI bagi Tahun 2023. Forum ini dihadiri oleh Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI bersama pengurusan tertinggi universiti, ketua-ketua pusat tanggungjawab, kakitangan serta pelajar yang berjumlah seramai 700 orang telah memenuhi Dewan Auditorium UPSI.

Forum yang dikendalikan oleh Muhammad Hasbi Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan selaku moderator serta menampilkan tiga orang ahli panel hebat iaitu Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri Hashim, Timbalan Mufti di Jabatan Mufti Negeri Perak; Samsul Salip, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM Putrajaya; dan Nurhayati Nordin, CEO Yayasan Sinar untuk Malaysia  mewakili NGO Rasuah Busters.

Menurut Datuk Dr. Md Amin dalam ucapannya, “Integriti adalah sebahagian daripada amalan kehidupan. Ianya bermula dari diri sendiri kerana nilai ini secara hakikinya diasuh dan disulam sejak kecil lagi. Jadikan ia sebagai amalan kerana ia sememangnya dituntut oleh semua agama.” Di akhir ucapan, beliau menyeru semua warga UPSI untuk memperkasakan Rukun Negara, menghayati dan menyelami maksud tersirat dalam 5 elemen tersebut agar sentiasa terhindar daripada fitnah integriti.

Sambutan Hari Integriti yang disambut sejak tahun 2005 pada 5 November setiap tahun turut dipenuhi dengan pelbagai program dan aktiviti. Antaranya Pertandingan Video Pendek Integriti bertemakan ‘Transparent vs Fake’, forum integriti, perhimpunan bulanan November 2023 dengan kerjasama Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) yang telah diisi dengan Ikrar Integriti kepada semua warga UPSI dan bacaan teks khutbah integriti.

Turut berlangsung, Persembahan Sajak dan Karya Seni oleh Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi dari Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) yang telah mendeklamasikan sajak bertajuk ‘Sajak dari Rakyat’ dan Dr. Izzal Khairi Ramli dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) yang telah mempersembahkan karya seni berbentuk abstrak berdasarkan sajak yang disampaikan.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah penyertaan kepada kakitangan yang berjaya menyertai pertandingan video pendek integriti sebagai penghargaan di atas usaha dalam merekacipta video yang bertemakan ‘Transparent vs Fake’.

Antara pemenang yang berjaya menyertai pertandingan video pendek integriti adalah Dr. Fazhana Ismail (Fakulti Teknikal dan Vokasional) dengan tajuk video Integriti Rahsia Sulit, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan (Fakulti Pembangunan Manusia) dengan tajuk ‘Integriti Bemula dari Kita’; Suhaila Sidek (Bahagian Hal Ehwal Akademik) dengan tajuk ‘Rasuah Bukan Rezeki’; Sharifah Nurulhidayah Habib Elias (Perpustakaan Tuanku Bainun) dengan tajuk ‘Your Actions, Define You’; dan Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC) yang bertajuk Boleh Stop Kot!

Semoga dengan penganjuran ini mesej integriti akan terus mekar dalam kalangan warga UPSI dalam menatang dan melayari MALAYSIA MADANI.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)