Oleh: Norazlina Khairuddin & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)

Tanjong Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) sangat bertuah apabila inovasi modul Learning Journey mendapat perhatian pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, Mejar David Teo.

NCDRC mempertandingkan modul inovasi pendekatan projek Learning Journey setelah memenangi anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) di Beijing, China sempena International Education Innovation Expo (Edu@Innovate 2023) & Festival Of Art yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Modul Learning Journey ini diketuai oleh Nur Hidayah Shazira Mohd Shukor bersama Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Noraida Othman, Norelme Mokhtar, Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi dan Farah Hadila Abas.

Mejar David Teo menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan NCDRC setelah mendengar pembentangan berkaitan potensi modul ini secara komersial dan sasaran pengguna yang meluas.

Menurutnya, modul Learning Journey mempunyai potensi komersial yang luas dan mampu memberi sumbangan besar terhadap dunia pendidikan awal kanak-kanak dalam dan luar negara.

“Saya melihat modul ini besar potensinya. Dengan sentuhan kepakaran pihak kami dari segi audio visual, digital komersial dan promosi, pasti sasaran pengguna akan lebih luas. Pendidik tidak perlu lagi bercakap banyak untuk tujuan promo di sana sini. Mereka hanya perlu tekan pautan sahaja, semua sudah tersedia, itu kepakaran kami,” katanya.

Mejar David Teo sedang membincangkan berkaitan peluang komersial modul “Learning Journey”

Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa menyatakan keterujaannya dan sentiasa membuka  pintu untuk menjayakan kerjasama dengan pelbagai agensi.

“Saya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan agensi-agensi luar. Kejayaan Metrowealth dalam bidang hiburan tanah air semestinya membuktikan sesuatu yang luar biasa banyak dihasilkan oleh pihak mereka dan semoga ini menjadi satu langkah kanan untuk kita memperluas lagi market NCDRC khususnya modul Learning Journey ini di peringkat yang lebih besar,” ucapnya.

Modul Learning Journey adalah modul pendekatan projek yang digunakan oleh pendidik NCDRC dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.

Modul ini dapat memudahkan pendidik khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk membuat dokumentasi projek yang sempurna di samping memberi pengalaman berterusan kepada kanak-kanak sehingga dewasa melalui pembelajaran berasaskan pendekatan projek.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)