Oleh: Norazlina Khairuddin & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)
Tanjong Malim: Taska Permata dan Tadika Bitara Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Perarakan Solidariti Palestin pada 7 November 2023 yang berlansung di perkarangan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Perarakan melibatkan 200 orang peserta yang terdiri dari kanak-kanak, pendidik, staf pentadbiran dan ibubapa. Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan bacaan doa, Qunut Nazilah dan selawat lalu diteruskan dengan perarakan daripada NCDRC ke Masjid Al-Mursyidin UPSI bagi aktiviti solat hajat.
Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr Mazlina Che Mustafa mengatakan bahawa program ini memberi impak yang besar untuk kanak-kanak terus memahami nilai syukur dan kemanusiaan yang perlu ditanam bermula dari awal lagi.
“Program ini dapat menerapkan rasa kesyukuran kepada warga NCDRC dan juga kanak-kanak di samping dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak Taska dan Tadika NCDRC khususnya hormat-menghormati dan nilai kasih sayang,” katanya.
Turut sama hadir Prof.Madya. Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi NCDRC dan juga Dr. Masayu Dzainudin, Timbalan Pengarah Perkembangan Kanak-Kanak & Sistem Data NCDRC.
Pengarah Program Perarakan Solidariti Palestin, Mohamad Nor Zakuan Abd Rashid menjelaskan bahawa kesuburan nilai kemanusiaan dalam diri akan menjadikan kanak-kanak lebih memahami dan menghayati sifat syukur serta menanam sifat mahmudah dalam diri untuk menjadi seorang yang berhati mulia.
“Program ini bukan sahaja menunjukkan sokongan kita terhadap Palestin, tetapi ini sememangnya hasrat pendidik untuk sentiasa menyediakan ruang dan aktiviti yang membolehkan kanak-kanak menyerap rasa kemanusiaan secara tidak langsung memberikan mereka pengalaman yang berharga dalam kehidupan mereka,” jelasnya.
Keterlibatan mahasiswa dalam program ini menunjukkan bahawa mahasiswa UPSI sentiasa bersedia untuk menyumbang bakti dan tenaga serta kontribusi dalam program kemanusiaan.
“Saya ingin berterima kasih dan sangat bangga dapat terlibat dalam program ini. Ketika dihubungi oleh Cikgu Zakuan dan beliau meminta saya untuk mengetuai solat hajat bersama kanak-kanak, dengan senang hati saya menerima dan semoga apa yang kita harapkan akan dikabulkan oleh Allah Taala,” katanya lagi.
NCDRC dan UPSI khususnya akan sentiasa menyokong program-program berunsurkan kemanusiaan kerana inilah sifat pendidik yang akan sentiasa memastikan keharmonian dan kesejahteraan sentiasa menjadi keutamaan.
Warna kemanusiaan perlu tersemat dalam diri agar keamanan akan sentiasa terjaga dan hak hidup sebagai seorang manusia khususnya kanak-kanak akan terus terbela demi masa depan dunia yang lebih harmoni.