Oleh: Afifah Adriana Aznan (Pegawai 9U-Media UCTC)

Bandung, 3 November- Komuniti di Kampung Jati Desa dan Panti Asuhan Al-Amin, di Daerah Garut, Bandung, Indonesia menerima sumbangan barangan makanan kering dan bantuan keperluan persekolahan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Lembaga Amil Zakat Nasional Bakrie Amanah dan Universitas Garut, Indonesia.

Sumbangan pek makanan kering dan keperluan barangan persekolahan yang bernilai 32.5 juta rupiah telah diagihkan kepada 150 keluarga asnaf dan 100 pelajar dalam Majlis Penyaluran Kado Bahagia Keluarga Dhuafa & Anak Negeri di Kampung Jati Desa dan Panti Asuhan Al-Amin dengan bantuan mahasiswa Universitas Garut dan sukarelawan UPSI.

Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata program ini bertujuan untuk mengkoordinasikan aktiviti sukarelawan serta khidmat komuniti ke peringkat antarabangsa di samping mempromosikan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan mewujudkan usahasama antarabangsa.

Keprihatinan UPSI dalam menjalankan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) disebar luas ke peringkat antarabangsa demi pembangunan dan kesejahteraan ummah selain menjana mahasiswa yang lebih beridealisme, proaktif, dan kreatif menerusi pemerhatian serta dialog yang lebih terbuka dan global.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, pihak Universiti menyokong penuh program ini dalam usaha untuk meningkatkan imej UPSI di peringkat global dan atas dasar keprihatinan terhadap komuniti dan pelajar B40 di Indonesia yang sentiasa mendapat perhatian dari Malaysia.

“Tanggungjawab sosial yang dilaksanakan ini membuktikan hubungan antara Malaysia-Indonesia bukan sekadar antara kerajaan malah mempunyai hubungan akrab sesama insan”, tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata ini adalah hala tuju ke hadapan dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat, bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

“Saya berharap semoga insentif bantuan yang diberi ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban komuniti dan pelajar B40 Kampung Jati Desa dan Panti Asuhan Al-Amin di Daerah Garut yang memerlukan” ujarnya lagi.

Selain melaksanakan program penyerahan sumbangan, terdapat pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang keberadaan delegasi UPSI di Indonesia seperti perkongsian ilmu berkaitan Pengurusan Bencana dan profil Universiti Pendidikan Sultan Idris, kuliah umum Tropical Rainforest “Our Legacy, Our Future”, lawatan budaya, aktiviti sukan persahabatan antara Universitas Garut dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan lain-lain.

Pertukaran cenderahati antara UPSI dan UNIGA
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)