Oleh: Noraida Othman & Fara Hadila Abas (NCDRC)

Tanjong Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) terus mencipta kejayaan apabila sekali lagi merangkul anugerah emas di peringkat antarabangsa apabila meraih anugerah melalui modul ‘Learning Journey’ di Edu@Innovate International Education Innovation Expo 2023 dalam kategori akademik, profesional dan pemain industri yang berlangsung pada pada 8 dan 9 November 2023 di Dewan Tuanku Canselor, UPSI.

Kumpulan ini terdiri dari gabungan tertinggi pentadbiran, pendidik dan pembantu pengurusan murid yang diketuai oleh Nor Hidayah Shazira Mohd Shukor bersama ahli kumpulan, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa (Pengarah NCDRC),  Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah (Timbalan Pengarah Penyelidikan & Inovasi, NCDRC), Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, Noraida Othman, Norelme Mokhtar dan Fara Hadila Abas.

Menurut Nor Hidayah Shazira Mohd Shukor yang juga merupakan pemenang Anugerah Guru Cemerlang Negeri Perak 2022 dan Naib Johan Anugerah Guru Inovasi Prasekolah Kebangsaan 2023 menyatakan bahawa kemenangan ini adalah hasil kerjasama dan sokongan padu dari semua pihak di NCDRC.

“Bagi saya, kemenangan hari ini adalah kemenangan yang sangat bermakna, tidak hanya untuk diri saya sendiri tetapi semua kakitangan NCDRC. Setiap peranan yang dimainkan oleh semua ahli memastikan Modul Learning Journey ini berjaya dipersembahkan dengan baik dan itu yang menjadi kepuasan apabila kerjasama ini membuahkan hasil yang manis”, katanya.

NCDRC sentiasa komited dalam melahirkan banyak potensi tidak hanya kanak-kanak, malahan juga kakitangan yang sentiasa mewarnai setiap kejayaan yang dicapai.

Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi NCDRC, Prof. Madya Dr. Norazilawati menyatakan bahawa NCDRC akan sentiasa membuka peluang kepada pendidik, staf pentadbiran dan sokongan serta kanak-kanak untuk meraih pengalaman dalam menyertai pertandingan inovasi dan apa jua penglibatan yang boleh meningkatkan jatidiri cemerlang para kakitangan.

“Pertandingan seperti akan sentiasa dibuka kepada semua warga NCDRC khususnya untuk penyertaan. Kejayaan demi kejayaan akan bersama kita raih sekiranya kita sentiasa tolong menolong, bekerjasama, menyumbang idea dan bersatu serta ikhlas. Pasti NCDRC akan terus cemerlang dari tahun ke tahun”, ujarnya.

Visi NCDRC untuk menjadi pusat rujukan negara dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak akan terus bergiat aktif dalam aktiviti pendidikan, inovasi, penyelidikan dan senantiasa memberi perkhidmatan terbaik demi meningkatkan mutu dan kualiti selari dengan moto Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai Universiti Pendidikan No.1.

UPSI melalui NCDRC juga telah menjadi ‘strategic partner’ bersama Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu juga, Edu@Innovate menjadi bukti jalinan kerjasama UPSI bersama agensi gergasi dalam industri untuk membuka lagi peluang kerjaya kepada mahasiswa UPSI dan merangkai kecemerlangan serta kegemilangan melalui kolaborasi dua hala yang berimpak tinggi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)