Oleh:  Dr. Norly Jamil (FPM), Mohd Nor Zakuan Abdul Rashid & Muhd Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)

Tanjong Malim: Jenayah seksual melibatkan kanak-kanak sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita semakin meningkat dari tahun ke tahun termasuklah kes penderaan sehingga kes jenayah yang meragut nyawa kanak-kanak.

Antara kes jenayah seksual kanak-kanak termasuklah kes rogol, cabul, sumbang mahram, cabul kehormatan, gangguan seksual, amang seksual, berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, keganasan rumah tangga dan jenayah-jenayah lain yang membabitkan kanak-kanak.

Sempena sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2023, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) menganjurkan Forum Jenayah Seksual Kanak-kanak: Pendidikan Kesedaran dan Cabaran Menanganinya.

Forum yang bersiaran langsung melalui facebook live pada 15 November 2023 menampilkan barisan penceramah yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknolgi dan jenayah siber, bidang undang-undang, pendidikan awal kanak-kanak dan  ilmu kaunseling.

NCDRC mengundang Penasihat BjaQ Group (M) Sdn Bhd, Ridzwan Azzahari, Jameyyah Sheriff selaku Penasihat Mahkamah Kanak-kanak Kuala Lumpur merangkap pengasas Sekolah Belantara Eco Education dan Dr. Sayyidatina Che Rozubi selaku pensyarah di Jabatan Bimbingan dan Kaunseling UPSI yang juga Kaunselor berdaftar (Global Felo Childlight University of Edinburgh).

Forum juga diserikan lagi dengan kehadiran pegawai dari Jabatan Kemajuan Masyarakat Daerah Muallim, Ghazawi Zulkarnain sebagai moderator perbahasan yang berlangsung selama dua jam ini.

Antara topik yang diperbahaskan adalah berkaitan seputar perundangan yang melibatkan jenayah kanak-kanak serta solusi dalam mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap persekitaran kanak-kanak yang boleh mengundang berlakunya jenayah seksual.

Jenayah ini tertakluk kepada Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang telah berkuatkuasa bermula dari tahun 2017 untuk semua kanak-kanak dibawah umur 18 tahun.

Dr. Sayyidatina Che Rozubi menjelaskan berkenaan statistik menunjukkan 90 peratus mangsa jenayah seksual kanak-kanak di seluruh dunia adalah dari pemangsa yang berdekatan dengan kanak-kanak.

“Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bila statistik seluruh dunia menunjukkan peratusan mangsa itu adalah dari pemangsa yang dikenali, kita perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengawal apa yang mereka lihat di gadget supaya anak-anak kita sentiasa di bawah pengawasan dan hidup dengan selamat.” katanya .

Menurut ketua aktiviti bagi forum Jenayah Kanak-kanak kali ini, Dr. Norly Jamil menyatakan bahawa tujuan forum ini dianjurkan adalah supaya masyarakat lebih peka terhadap undang-undang yang membela hak kanak-kanak.

“Saya ingjn menyebarkan awareness kepada masyarakat agar mereka faham dan belajar tentang undang-undang yang membela hak kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak dapat tumbuh besar di persekitaran yang sihat dan selamat, saya pasti negara akan mempunyai barisan pewaris yang akan menerajui kegemilangan negara untuk masa akan datang,” katanya.

UPSI sentiasa komited dalam membanteras jenayah, tambahan pula apabila melibatkan elemen kanak-kanak, nilai perpaduan dan kasih sayang yang diterapkan dalam diri kanak-kanak. Nilai-nilai ini  akan terus menjadi benih kedamaian demi kehidupan negara untuk terus aman dan makmur.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)