Tanjong Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), UPSI telah menganjurkan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak bermula dari 15 November hingga 17 November 2023 di sekitar kawasan NCDRC, Fakulti Pembangunan Manusia dan Fakulti Sains Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Bersempena dengan program ini, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Fara Dayana Mohd Jufry bersama dengan ahli penyelidik Amsalib Pisali dan Ts. Mohammad Naquiddin Tajul Ariffin dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) serta Dr. Iylia Dayana Shamsudin dari NCDRC, UPSI telah melaksanakan Bengkel Pembuatan Boneka (Gambalan) Wayang Kulit Kelantan. Bengkel ini juga adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Ilmu 2023 bagi melestarikan seni Wayang Kulit Kelantan yang kini makin dilupakan.
Bengkel ini melibatkan 30 orang kanak-kanak Tadika Bitara NCDRC dan Tadika sekitar Tanjong Malim bersama-sama enam orang pendidik, serta empat orang sukarelawan pelajar FMSP, UPSI yang membantu kanak-kanak menghasilkan boneka wayang kulit mengikut kreativiti masing-masing.
Program bermula pada 15 November dengan sedutan persembahan Wayang Kulit Kelantan bagi memperkenalkan wayang kulit kepada kanak-kanak. Seterusnya, Dr Fara Dayana menerangkan tentang boneka wayang kulit yang diperbuat daripada kulit kambing serta komponennya. Kanak-kanak diberikan boneka Pak Dogol dan Puteri untuk diwarnakan mengikut kreativiti masing-masing sebelum dibantu oleh sukarelawan pelajar untuk menyambungkan tangan boneka dan menjahit buluh.
Dr. Masayu Dzainudin, Timbalan Pengarah Akademik, Perkembangan Kanak-kanak dan Sistem Data NCDRC yang turut hadir bersama semasa bengkel ini berbesar hati untuk meneruskan bengkel ini pada masa hadapan kerana berpendapat program ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali seni warisan Wayang Kulit Kelantan yang belum pernah didedahkan kepada mereka.
”Aktiviti ini juga membolehkan kanak-kanak mengembangkan lagi perkembangan motor, kreativiti serta estetika dalam menghasilkan karya seni, dan ini boleh menjadi pemangkin minat kanak-kanak untuk mengenali seni warisan ini,” katanya lagi.
Selain daripada mewarnakan boneka wayang kulit, kanak-kanak juga diberi tunjuk ajar cara memegang dan menggerakkan boneka wayang kulit mereka oleh kumpulan penyelidik. Usai ditunjuk ajar, kanak-kanak berasa teruja dan mula bermain boneka wayang kulit bersama-sama dan ini jelas mencapai objektif program ini. Jelas Dr. Fara Dayana,
”Kanak-kanak begitu kreatif dalam mewarnakan boneka wayang kulit mereka dan apabila saya melihat mereka menggerakkan boneka sambil berdialog dengan rakan-rakan mereka, saya gembira. Objektif program ini sudah tercapai. Ini adalah salah satu langkah dalam melestarikan seni warisan Wayang Kulit Kelantan dan saya berharap ia dapat diteruskan”.
NCDRC dengan kerjasama fakulti-fakulti di UPSI khususnya akan sentiasa menyokong program yang akan memangkin minat kanak-kanak yang pelbagai disamping menggalakkan perkembangan holistik mereka seperti kesenian, sains dan teknologi, bercerita, dan lain-lain kerana inilah salah satu tujuan NCDRC sebagai pusat penyelidikan perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak adalah penyambung warisan, dan pendedahan awal adalah langkah pertama yang harus diambil.