Oleh: Nursyazwani Ismail, Rabiatul Adawiyah Ali, Zatil Hidayah Tarmizi & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi
Tanjong Malim: Kanak-kanak adalah penerus generasi kegemilangan negara untuk masa akan datang. Bakat dan potensi yang ada perlu dicungkil untuk membawa warna warni kehidupan Malaysia yang lebih gemilang dan beragam.
Bagi menyokong hasrat negara, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) menganjurkan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2023 untuk yang kesekian kali.
Sambutan Hari Kanak-kanak dimulakan dengan Pertandingan Bercerita bagi kategori Prasekolah, kategori Sekolah Rendah bagi Tahap 1 dan Tahap 2.
30 orang kanak-kanak hadir dari pelbagai negeri memeriahkan lagi penyertaan pertandingan cerita dengan mempersembahkan gaya bercerita yang menarik dan bantuan gimik yang kreatif.
Ketua Aktiviti Pertandingan Bercerita, Nur Hidayah Shazira Mohd Shukor menyatakan bahawa pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat bercerita serta meningkatkan keberanian untuk kanak-kanak tampil ke hadapan.
Juri pertandingan ini terdiri daripada pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia iaitu Dr. Tee Ying Qin, Nadia Shahira Amiruddin dan Farhana Nohrin Mohd Anuar.
Johan Bercerita bagi Prasekolah jatuh kepada Muhd Iman Mohd Azam dari Pasti Alfalah 1, Behrang Stesen untuk kategori Bahasa Melayu dan Girishan A/L Mayandy dari Tabika Kemas Slim River bagi kategori Bahasa Melayu.
Bagi Tahap 1 pula, kategori Bahasa Melayu dimenangi oleh Nur Hana Safiyyah Mohd Faizal dan Meor Zulfiqar Meor Dzulkarnain kategori Bahasa Inggeris. Pertandingan Bercerita Tahap 2 berlangsung sengit dan Muhd Silmi Absya Mohd Faizal dari SK Proton City dinobatkan sebagai juara.
Kesemua peserta membawa pulang hadiah trofi, set buku cerita dan sijil penghargaan. Penyampaian hadiah dan penghargaan disampaikan oleh Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim, Mohd Ghazawi Zulkarnain.